Mekanisme Levi mula dilaksana 1 Jan 2020
PUTRAJAYA - Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia hari ini bersetuju mekanisme levi pelbagai peringkat untuk pekerja asing meliputi semua sektor akan dilaksana mulai 1 Jan 2020.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan itu mengambil kira aspek integrasi data serta kesediaan pihak kerajaan dan majikan di bawah sektor-sektor formal khususnya pertanian dan pembuatan.
Bagi sektor perkilangan, Muhyiddin bagaimanapun berkata nisbah kebergantungan pekerja asing bagi mekanisme levi pelbagai peringkat yang dibenarkan adalah hanya sehingga 75 peratus.
"Dalam perkara ini, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keperluan majikan atau syarikat di sektor perkilangan yang menggajikan pekerja asing melebihi nisbah dibenarkan secara kes demi kes.
"Ini bagi memastikan operasi syarikat berkenaan tidak terjejas khususnya bagi eksport barangan syarikat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, pelaksanaan mekanisme itu mempunyai beberapa bulan untuk melakukan segala persiapan secara terperinci termasuk memaklumkan kepada pihak majikan di sektor-sektor mengenai levi pelbagai peringkat dan jumlah tenaga kerja yang boleh digaji oleh mereka.
"Setiap peringkat mempunyai levi berbeza. Semua cadangan jumlah bayaran levi itu telah dimasukkan di dalam laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing. Kita tidak boleh mendedahkan kerana laporan itu perlu mendapat kelulusan Kabinet," katanya.
Muhyiddin berkata jawatankuasa itu turut bersetuju supaya jawatan tukang masak, pembantu dapur dan pelayan restoran dibenarkan untuk digajikan di sub sektor restoran.
Sejak 1 Januari sehingga 20 Februari lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 2,182 operasi penguatkuasaan dan melalui operasi tersebut, JIM menahan 148 majikan dan 7,747 pendatang asing tanpa izin, katanya.
"Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pula telah membuat 398 pendakwaan melibatkan 244 majikan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2018. Selain itu, 422 kes melibatkan 316 majikan dikenakan kompaun.
"JTKSM turut mengeluarkan 4,677 notis pematuhan melibatkan 4,677 majikan yang gagal mematuhi Akta Kerja 1955," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan majikan dan syarikat untuk membuat permohonan pengambilan dan penggajian pekerja asing mengikut saluran betul serta mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja dan Akta Imigresen 1956/63 bagi mengelak tindakan penguatkuasaan diambil kerana menggaji pekerja asing secara tidak sah.
Ditanya sama ada mesyuarat itu turut memutuskan kementerian mana akan mengendalikan hal ehwal berkaitan pekerja asing yang bekerja di negara ini, Muhyiddin berkata kedua-dua, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mempunyai peranan dan tugas berbeza.
"KDN menguruskan proses imigresen serta keperluan untuk mengeluarkan visa dan Pas Lawatan Kerja Sementara manakala urusan menimbang soal pekerja dan saringan pekerja adalah sebahagian besar peranan Kementerian Sumber Manusia.
"Kementerian Kesihatan pula mengendalikan proses pemeriksaan kesihatan agar pekerja asing tidak membawa penyakit ke dalam negara kita," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!