Dilema pelajar SPM duduki peperiksaan
ALOR SETAR - Pihak berwajib digesa supaya memberi perhatian kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohan Rathakrishnan berkata, ini kerana hampir setahun pelajar tingkatan lima berdepan norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun keberkesanan pembelajaran secara maya itu masih menjadi pertikaian.
Menurutnya, kebanyakan pelajar SPM kini dalam dilema susulan tekanan perasaan kerana berdepan pelbagai kekangan dari aspek psikologi, masa, kewangan, kesihatan serta kemudahan internet.
“Sejauh mana pelajar bersedia menghadapi SPM? Pembelajaran dalam talian mempengaruhi semangat dan konsentrasi mereka untuk belajar.
“Bagi mendapatkan akses internet yang baik, keluarga perlu berbelanja tinggi untuk mendapat data penerimaan maklumat. Walaupun kerajaan beri bantuan 1GB setiap hari antara jam 8 pagi hingga 6 petang bermula 1 April hingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berapa ramaikah pelajar yang mendapat manfaat itu?,” soalnya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tegas Mohan, ramai pelajar yang mengambil SPM tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak tidak mendapat kemudahan internet bagi meneruskan pembelajaran dengan baik.
“Semua faktor ini melunturkan semangat pelajar untuk terus belajar. Mereka menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan guru, serta tidak dapat membuat latihan atau ulangkaji.
Berdasarkan Model Systematic Approach for Adapting the Learning Environmet (SAALE), pelajar mudah bosan jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Pelajar SPM perlu menduduki peperiksaan sumatif penting untuk menentukan hala tuju hidup mereka, menyebabkan mereka dalam dilema,” katanya.
Menurutnya, pelajar perlu siap siaga menerima cabaran pembelajaran berbeza mengikut persekitaran namun ramai gagal berbuat demikian.
“Akhirnya mereka menyalahkan sistem dan enggan ubah diri mengikut rentak pembelajaran baharu. Mereka cepat bosan dan tidak bersemangat untuk belajar.
“Begitu juga dengan adaptasi terhadap penilaian dan penggredan kerja rumah dan latihan ilmiah. Pelajar bimbang tidak memahami mata pelajaran wajib dan elektif semasa belajar di rumah. Kepada siapa mereka boleh bertanya jika berdepan kemusykilan dalam pelajaran? Tiada bantuan guru secara bersemuka atau rakan sebaya, ini mempengaruhi psikologi dan meningkatkan tekanan perasaan sehingga ada yang takut untuk mengambil SPM,” katanya.
Malah, ujarnya pelajar masih tidak yakin dengan penilaian latihan dalam kelas maya sedangkan SPM semakin hampir.
“Ada mata pelajaran yang perlukan bimbingan secara hands-on seperti Biologi, Fizik, Matematik Tambahan, Sains serta perakaunan yang bukan mudah untuk difahami.
“Pelajar perlukan bantuan guru secara bersemuka atau rakan sebaya untuk bantu mendalami bab yang mereka kurang difahami agar dapat menguasai mata pelajaran secara menyeluruh,” katanya.
Kerisauan ujar Mohan, adalah antara faktor mengapa pelajar tidak bersemangat untuk belajar.
“Mereka risau akan gagal dalam mata pelajaran tertentu kerana tidak tahu teknik menjawab yang betul. Pengajaran secara maya tidak menjamin pelajar memberi tumpuan kerana ada sesetengah pelajar menutup kamera semasa PdPR.
Ini menyebabkan guru tidak dapat pantau pelajar dalam kelas maya, termasuk pelajar yang tidak memahami pengajarannya dan keberangkalian pelajar menjawab soalan guru adalah rendah. Malah, ada pelajar malu bertanya kerana bimbang menjadi tumpuan,” katanya.
Sehubungan itu, pembelajaran PdPR memerlukan kecemerlangan melalui peningkatan kelenturan operasi pembelajaran mengikut konteks.
“Ketika PdPR, pelajar perlu pastikan aktiviti pembelajaran mengikut konteks pemudahcara melibatkan guru yang mengajar di kelas maya. Guru perlu pastikan aktiviti pembelajaran yang disampaikan berhubung kait dengan pengetahuan baharu dan sedia ada serta pengalaman pelajar mengikut tahap pembelajaran supaya pelajar yakin terhadap diri sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!