Hukuman lebih keras kepada penyeludup rokok

No Image Caption
A
A
A

MASALAH penyeludupan rokok di negara ini bukanlah perkara baharu, ibarat penyakit kronik yang masih belum mampu diubati sepenuhnya.

Bagi menyelesaikan masalah penyeludupan rokok, kerajaan digesa supaya mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penyeludup dan penjual barangan haram berkenaan.

Kerugian kepada negara bukan 'kecil-kecil anak' untuk tutup mata. Negara kerugian lebih RM5 bilion setahun daripada segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok ini

Wang itu sepatutnya menjadi pendapatan negara bagi membantu ekonomi dan rakyat ketika pandemik tetapi malangnya, masuk dalam kantung sindiket penyeludupan.

Aktiviti penyeludupan rokok mencatatkan peningkatan ketara mulai tahun 2015. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut melonjakkan pemintaan rokok seludup kerana harganya lebih murah.

Mereka yang membeli rokok seludup ini mungkin tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada rangkaian jenayah terancang.

Faktor harga produk adalah antara punca utama rokok seludup menjadi pilihan pengguna berbanding produk yang diedarkan secara sah pada harga lebih mahal kerana duti eksais tinggi.

Sudah sampai masa untuk kerajaan menggunakan undang-undang yang lebih keras untuk membanteras sindiket penyeludupan rokok ini.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang sedia ada sepatutnya dipinda kerana sindiket tidak gentar dengan denda minimum RM100,000 dan sebatan dalam Akta Kastam 1967.

Justeru tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (Amla) dan Undang-Undang Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu diambil untuk melumpuhkan jenayah ini dan segala rangkaiannya.

Penguatkuasaan perlu diperketatkan kerana penguatkuasaan yang lemah menyebabkan Malaysia terus menjadi sasaran sindiket rokok seludup.

Sikap rakyat Malaysia memilih rokok haram walaupun ia jelas melanggar undang-undang juga tidak membantu keadaan.

Lebih malang sekiranya berlaku campur tangan politik dan isu integriti anggota penguat kuasa kerana aktiviti penyeludupan ini bukan sahaja menggunakan lorong tikus tetapi melalui pintu masuk utama negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!