Perak naik taraf PKRC terima pesakit kategori 3, 4
TAIPING - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Perak akan dinaik taraf bagi menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, langkah itu sebagai kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes bagi kedua-dua kategori tersebut di negeri ini yang telah menunjukkan trend peningkatan.
Menurutnya, setakat ini pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 yang memerlukan oksigen masih ditempatkan di hospital-hospital untuk tujuan rawatan manakala pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil ditempatkan di PKRC.
"Dalam perancangan awal, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan menaik taraf PKRC Arena Badminton di Ipoh yang mempunyai kapasiti besar untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 dahulu.
"Perkara ini akan dilakukan secara berperingkat di PKRC lain pula bergantung kepada kemudahan peralatan perubatan yang ada kerana sekarang, pesakit ketegori ini perlukan diagnosis X-ray untuk lihat radang paru-paru.
"Jadi untuk akan datang sekiranya peralatan perubatan ini mencukupi dan ada keperluan seperti hospital-hospital telah mencapai kapasiti penuh, maka boleh dipertimbangkan agar kategori 3 dan 4 juga ditempatkan di PKRC," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau PKRC Kompleks Rakan Muda, Kamunting yang baru beroperasi dan dibuka pada Isnin untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.
Untuk peringkat pertama, PKRC yang boleh memempatkan sehingga 780 katil itu akan menerima kemasukan 32 pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dari Hospital Parit Buntar.
Mohd Akmal berkata, PKRC Kompleks Rakan Muda di Kamunting itu menjadi kemudahan kuarantin bagi pesakit-pesakit Covid-19 yang mendapatkan rawatan di hospital utara Perak seperti di Hospital Parit Buntar, Kuala Kangsar dan Gerik.
"Walaupun boleh menempatkan sehingga 780 katil, tetapi buat masa sekarang kita hanya sediakan 630 katil sahaja bagi tujuan keselesaan," katanya.
Pembukaan PKRC Kompleks Rakan Muda, Kamunting itu adalah tambahan kepada tiga pusat kuarantin sedia ada di Perak iaitu di PKRC Arena Badminton Perak di Ipoh yang telah dinaik taraf kepada 520 katil berbanding 479 katil sebelum ini; Kolej Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta (570 katil) dan PKRC khas Orang Asli di Kem PLKN Sinaran Suria Sungkai yang dibuka mulai 25 Julai lalu memuatkan 470 katil.
Dalam perkembangan sama, Mohd Akmal berkata, tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi baharu telahpun dibuka kepada orang ramai pada bulan ini masing-masing di Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia di Ipoh; Dewan Rumpun Seri, Kompleks Telekom Malaysia Berhad, Taiping dan Kompleks Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City Tanjung Malim.
Jelas beliau, pembukaan PPV baharu itu menunjukkan satu lagi usaha kerajaan mempercepatkan kadar imunisasi kepada rakyat selain bukti keseriusan dalam menangani Covid-19.
"Sekarang kita sudah pun mencapai kadar suntikan vaksin Covid-19 sebanyak 40,000 dos sehari, ini termasuk program outreach yang telah pergi ke 13 tempat dan kemudahan melalui bas bergerak yang disediakan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
"Sasaran kita untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus dengan seberapa cepat yang mungkin iaitu pada tahun ini juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!