Sultan Kelantan titah pemberian vaksin dipercepatkan
KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat di Kelantan dipercepatkan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, baginda bertitah capaian imuniti kelompok itu amat penting bagi membolehkan masyarakat kembali keluar mencari sumber pendapatan seperti sediakala.
"Baginda turut menzahirkan perasaan teruja dan gembira melihat sudah ramai rakyat di negeri ini mendaftar untuk menerima vaksin," katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Kepada Mangsa Covid-19 di negeri ini di perkarangan Istana Balai Besar di sini pada Isnin.
Menurutnya, pada masa sama baginda memahami kekangan dihadapi oleh rakyat apabila ada dalam kalangan mereka terpaksa menunggu untuk tempoh masa yang lama bagi mendapatkan tarikh janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata, baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga barisan hadapan yang berkorban masa serta tenaga untuk memastikan Kelantan bebas daripada penularan Covid-19.
Tengku Azmi berkata, baginda berdoa kepada ALLAH supaya seluruh barisan hadapan yang sedang berjuang terus diberikan kekuatan untuk melawan pandemik Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Tengku Azmi berkata, baginda amat mengambil berat kesulitan dialami oleh kebanyakan rakyat dalam menghadapi pandemik ketika ini apabila berkenan mengurniakan 1,600 bakul makanan.
Katanya, sumbangan itu melibatkan 10 jajahan di Kelantan dan jajahan kecil Lojing.
"Baginda serta Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz berharap kurniaan ini dapat meringankan beban dihadapi oleh rakyat yang terkesan terutama kepada mereka yang hilang sumber pendapatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!