Panik, gajah makan durian di halaman rumah
KUALA KRAI - Sebuah keluarga di Kampung Sungai Mey di sini panik apabila seekor gajah liar menceroboh masuk ke kawasan rumah mereka lalu memakan buah durian dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, pada Khamis.
Gajah itu memakan durian yang dikumpul dan diletakkan oleh Mohd Anuar Badruldin, 33, di halaman rumahnya.
Mohd Anuar berkata, semasa kejadian dia dan isterinya, Nor Madiana Muhamad, 32, bersama anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan bunyi bising di luar rumah.
"Saya keluar untuk memeriksa kawasan luar rumah dan terkejut melihat gajah yang melangkah pagar.
Kemudian saya terus bawa isteri dan anak naik ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut Mohd Anuar, gajah tersebut berada di halaman rumahnya hampir satu jam dan memakan lima biji durian sebelum bergerak ke belakang rumah.
Dalam pada itu katanya, haiwan digelar 'orang besar' itu bukan sahaja merosakkan pagar kediaman keluarganya tetapi turut memecahkan cermin tingkap serta kereta mereka.
Tambah Mohd Anuar, sejak 2009 sudah tujuh kali gajah masuk ke halaman rumahnya.
"Sebaik sahaja keadaan reda, saya terus bawa isteri dan anak keluar dan menumpang tidur di rumah kakak yang terletak kira-kira 200 meter.
"Sehingga sekarang kami masih ketakutan dan berjaga-jaga. Sekarang ini musim buah-buahan dan sekitar rumah di kelilingi kebun mungkin ia menjadi faktor gajar liar muncul," ujarnya lagi.
Mohd Anuar berkata, sebelum ini dia ada melihak kelibat tujuh ekor gajah liar di kawasan kebun getah berhampiran tetapi tidak menyangka haiwan tersebut menceroboh kawasan kediaman.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kehadiran 11 ekor gajah di empat buah kampung di Kuala Krai iaitu di Kampung Sungai Mengkuang, Bukit Pagar Dalam, Sungai Tias dan Sungai Pa.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan akan menyelesaikan masalah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!