Edar 1,500 Jalur Gemilang semarak sambutan Hari Kebangsaan
SUNGAI BESAR - Sebanyak 1,500 Jalur Gemilang diagihkan kepada penduduk dan premis yang dikenal pasti di daerah Sabak Bernam bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2021.
Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail berkata, program itu dilaksanakan Jabatan Penerangan (Japen) menerusi unit bergeraknya, 'Info on Wheels' (IOW) di 15 lokasi sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, pengedaran Jalur Gemilang dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagai langkah pencegahan Covid-19.
"Sukarelawan yang mengedarkan Jalur Gemilang terikat dengan SOP seperti penggunaan pelitup muka dan penjarakkan fizikal selain tiada serahan bersemuka.
"Kita juga menggunakan kaedah tanpa sentuh iaitu dengan meletakkan Jalur Gemilang di peti surat atau hadapan pintu rumah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sabak Bernam di Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di sini pada Isnin.
Amri berkata, program itu bertujuan menyemarakkan semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang mungkin suram akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.
"Kita harap kempen kibar Jalur Gemilang ini menjadi pembakar semangat untuk kita semua bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan tetapi semua penduduk daripada pelbagai latar belakang supaya tidak melupakan ulang tahun kemerdekaan negara," katanya.
Jelas beliau, kempen itu juga adalah wadah terbaik untuk memberi inspirasi kepada rakyat terutama generasi muda supaya menghargai dan mengekalkan keamanan tanah air.
"Kita perlu sentiasa sedar dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat terutama dalam kita menghadapi pandamik Covid-19.
"Dalam keadaan mencabar ini amat penting untuk kita menghayati semangat dan semua inspirasi negara yang telah berjuang demi kemerdekaan tanah air," katanya.
Mengulas mengenai kempen kibar Jalur Gemilang di premis kerajaan di daerah Sabak Bernam, Amri berkata, sehingga kini, hampir 100 peratus premis agensi kerajaan sudah mengibarkan bendera di pejabat masing-masing.
"Saya dapati usaha ini sudah dilakukan sejak awal Ogos lalu sebagai tanda kita selaku penjawat awam membuktikan rasa cinta dan bangga sebagai rakyat negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!