'Kami akan kembali dengan lebih kuat': Wan Ahmad Fayshal
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) memberikan gambaran jelas mengenai kedudukan semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Menurusi hantaran di Facebook, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkongsi foto beliau dan pemimpin lain memberi kata semangat kepada Muhyiddin selepas mesyuarat khas kabinet pagi Isnin.
“Kami berdiri teguh dan bangga dengan kamu Tan Sri Presiden. Terima kasih atas jasa dan kepimpinan anda. Kami akan kembali dengan lebih kuat, Insya-ALLAH,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Facebooknya pula memaklumkan bahawa semua keputusan dibuat secara bersama dengan keutamaan menghormati dan mematuhi undang-undang serta Perlembagaan negara.
Menurutnya, asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat dengan berkhidmat sehingga ke garisan penamat.
“Saya amat faham dan sedar akan kekurangan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi dari kesilapan.
“Oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Instagram berkata, seluruh kabinet telah meletak jawatan dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Terima kasih atas peluang diberikan, sekali lagi, berkhidmat untuk negara,” katanya.
Pada Isnin, Muhyiddin menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung kedudukan terkini beliau sebagai perdana menteri.
Muhyiddin dilaporkan hilang sokongan majoriti selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan perlu meletak jawatan mengikut Perlembagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!