Yayasan Petronas sumbang alat peranti bantu PdPR

Wakil dari Petronas (kiri) menyampaikan tablet kepada 158 murid terpilih di Pejabat Pendidikan Daerah Machang.
Wakil dari Petronas (kiri) menyampaikan tablet kepada 158 murid terpilih di Pejabat Pendidikan Daerah Machang.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Petronas menyumbangkan 914 alat peranti kepada pelajar kurang berkemampuan dalam usaha mengelakkan mereka daripada 'terlepas' mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di negeri ini menerusi program Cerdik.

Pengurus Besar Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, selain peranti kepada setiap pelajar bantuan itu turut meliputi kemudahan data internet, kemudahan penyelenggaraan peralatan, jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun sesi akademik.

"Sebagai organisasi yang menekankan kepada kepentingan aspek pendidikan, Petronas sentiasa komited menyokong usaha kerajaan bagi memastikan rakyat di negara ini menikmati pendidikan yang berkualiti," katanya selepas sesi pertemuan secara maya bersama Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Negeri, Azhar Salleh dan Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Kelantan, Zulkernai Fauzi.

Menurutnya, sumbangan peranti dan perkhidmatan internet itu diharapkan dapat membantu mengatasi jurang digital dalam kalangan rakyat melalui penyediaan akses yang lebih baik terutamanya untuk mengikuti sesi PdPR.

Katanya, sumbangan menerusi jalinan kerjasam bersama JPN Kelantan itu melibatkan penerima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (75 pelajar), SMK Long Yunus (171), SMK Machang (158), SMK Keroh (126) SMK Tengku Indra Petra (152), SMK Kuala Balah (68) dan SMK Batu Melintang (64).

Sementara itu, seorang penerima dari SMK Keroh, Raja Fakhrulshah Raja Abdullah Zawawi menzahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut.

Anak kepada seorang pemandu itu berkata, sebelum ini dia hampir-hampir putus asa untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ekoran masalah yang sering hadapi.

Artikel Berkaitan:

"Belajar secara dalam talian sangat mencabar, selain masalah capain internet yang tidak stabil, kapasiti telefon pintar milik saya tidak mampu menanggung bebanan penggunaan.

"Seringkali telefon saya terpadam tiba-tiba dan menyebabkan sesi pembelajaran saya sering terputus," katanya.

Raja Fakhrulshah berkata, semangatnya untuk belajar bangkit semula sebaik sahaja menerima sumbangan peranti yang lengkap dengan talian internet tersebut.

Menurutnya, dia kini mampu melakukan carian maklumat di internet dengan cepat selain dapat menyiapkan kerja sekolahnya dengan lancar.

“Kalau, sebelum ini banyak kerja sekolah saya sering tertangguh kerana tidak sempat disiapkan, kini saya berupaya menghantar tugasan yang diberi oleh guru mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!