Peniaga lega, warga kota 'serbu' premis
KUALA LUMPUR - Kebenaran 11 sektor ekonomi beroperasi semula hari ini selepas lebih dua bulan ditutup bukan hanya melegakan peniaga malahan warga kota yang sememangnya menanti-nantikan pengumuman tersebut.
Pemilik pusat cuci kereta, Muhammad Nizamudden Mohd Abd Kadzar, 27, berkata kedainya 'diserbu' oleh pelanggan sebaik sahaja mula dibuka sekitar 10 pagi.
"Sehingga tengah hari, lebih 30 pelanggan datang namun kami terpaksa memilih untuk menerima pelanggan yang hanya lengkap dua dos vaksin seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: 11 aktiviti ekonomi dibenar kembali beroperasi esok
Bagaimanapun, tinjauan Bernama juga mendapati banyak premis melibatkan 11 sektor ekonomi itu terutama kedai pakaian belum beroperasi sepenuhnya kerana masih dalam proses pembersihan walaupun terdapat pelanggan berkunjung untuk mendapatkan barangan tersebut.
Pekerja pasar mini, Nur Farah Liyana Ismail, 28, berkata, beliau bergegas ke pusat beli-belah pada waktu rehat untuk mendapatkan seluar berwarna hitam yang menjadi keperluan dan pakaian seragam ketika bekerja.
"Saya masih mencari premis pakaian yang dibuka. Susah dapatkan seluar hitam secara dalam talian terutama untuk saiz besar, bila tiap-tiap hari pakai, seluar pun lusuh dan sudah tidak selesa untuk dipakai," katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah.
Sementara itu, pekerja salun, Angela Wong, 30, pula menzahirkan rasa lega kerana dapat bekerja semula walaupun agak resah dengan penularan kes yang masih membimbangkan.
"Sumber pendapatan memang terjejas bila tak bekerja sepanjang kedai tutup, kami terpaksa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan," katanya.
Pekerja kedai pakaian, Cindy Kow, 40, pula berkata, mereka tidak bercadang untuk membuka perniagaan hari ini sebaliknya mahu menumpukan kepada kerja pembersihan dan sanitasi.
"Pekerja lain juga ada yang masih belum lengkap dua dos vaksin dan tidak boleh bekerja lagi, memang susah kalau kerja seorang, tambahan sekarang kena semak status vaksin pelanggan dulu sebelum dibenarkan masuk," katanya.
Pada Ahad, kerajaan mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!