Peniaga perlu segera ambil vaksin Covid-19
SEBERANG JAYA - Golongan peniaga di kawasan Seberang Perai diminta segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan mendaftarkan diri melalui Program Vaksin Peniaga Seberang Perai.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, setakat ini hanya 20.75 peratus atau 2,184 orang daripada 10,572 peniaga menerima suntikan vaksin manakala 8,343 orang atau 79.25 peratus belum berbuat demikian.
Menurutnya, Program Vaksin Peniaga Seberang Perai dilancarkan pada 4 Ogos lalu menerima 1,353 pendaftaran melalui borang dalam talian dan sebahagiannya mula menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena bermula hari ini (Isnin).
"Program Vaksin Peniaga ini dilancarkan setelah hasil kajian penilaian dan penentuan risiko yang dijalankan oleh MBSP mendapati, pasar merupakan kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19.
“Alhamdulillah kumpulan pertama daripada peniaga yang berdaftar diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan divaksin mulai hari ini secara berperingkat,” katanya ketika tinjauan proses vaksinasi kumpulan peniaga di PPV SP Arena di sini pada Isnin.
Rozali berkata, berdasarkan rekod dan bancian MBSP, terdapat keseluruhan 10,572 peniaga dan penjaja berlesen termasuk di pasar awam,pasar pagi, pasar tani dan pasar malam di kawasan Seberang Perai.
Menurutnya, jumlah itu turut merangkumi peniaga dan penjaja tepi jalan, 'food truck' dan termasuk peniaga yang tidak berlesen di seluruh Seberang Perai.
Beliau berkata, peniaga hanya diminta mengisi borang dalam talian yang dipaparkan di Cyber Counter www.mbsp.gov.my atau mengimbas Kod QR yang telah disediakan di dalam infografik Program Vaksin Peniaga Seberang Perai.
"Saya menyeru kepada semua peniaga untuk mendaftar dan mendapatkan vaksin kerana segala kemudahan yang dijelaskan Perdana Menteri sebelum ini akan terpakai ke atas semua fasa Pelan Pemulihan Negara dengan syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu-individu yang ingin memanfaatkan semua kemudahan yang diumumkan sebelum ini mestilah menerima vaksinasi lengkap.
"Setakat ini kadar vaksinasi lengkap negeri Pulau Pinang baru mencapai 36 peratus. Marilah menjadi golongan yang membantu menambah kadar vaksinasi negeri ini sekali gus menyumbang kepada imuniti kelompok untuk terus berjuang melawan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!