Negeri Sembilan wujudkan hub anak muda

Mohd Taufek (berdiri, tiga kanan) selepas selesai majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Tabah dan NSEA di Wisma Negeri pada Isnin.
Mohd Taufek (berdiri, tiga kanan) selepas selesai majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Tabah dan NSEA di Wisma Negeri pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah hub anak muda Negeri Sembilan bakal diwujudkan tahun hadapan yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu golongan muda di negeri ini untuk mengakses pelbagai maklumat termasuk sebagai arena sukan elektronik (e-sport).

Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Taufek Abd Ghani berkata, hub itu nanti berfungsi memberikan perkhidmatan dari segi peluang kerjaya, pendidikan dan keusahawanan serta persediaan untuk menghadiri temu duga dan pengucapan awam.

"Selain itu, ia juga bakal menyediakan kemudahan yang bersesuaian untuk sukan elektronik.

"Bagaimanapun ketika ini, ia masih diperingkat perbincangan bersama Pejabat Menteri Besar dan lokasi yang dikenal pasti adalah bangunan milik kerajaan negeri di sekitar Seremban," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) bersama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) di Wisma Negeri di sini pada Isnin.

Mohd Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi berkata, sebagai permulaan pihaknya akan memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi merealisasikan pusat itu.

"Usaha murni ini akan membabitkan kerjasama pihak swasta khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini adalah sebahagian usaha kerajaan negeri untuk membangunkan golongan muda dalam kalangan anak negeri ini mendapatkan nilai tambah memajukan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Taufek (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) bersama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) di Wisma Negeri pada Isnin.
Mohd Taufek (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) bersama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) di Wisma Negeri pada Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Taufek berkata, melihat potensi dan bakat anak muda negeri ini, Tabah yang merupakan badan rasmi pembangunan belia di bawah Exco Pembangunan dan Sukan bersetuju menaja secara rasmi NSEA.

"NSEA akan bertanding dalam PUBG Mobile Pro League Malaysia /Singapore Season 4 (PMPLS4) pada 24 Ogos ini hingga 25 September depan yang mana NSEA akan dijenamakan sebagai Tabah-NSEA dengan membawa logo dengan warna tema Negeri Sembilan iaitu merah, hitam dan kuning.

"Pasukan ini akan membawa nama Negeri Sembilan sepanjang pertandingan itu dan jika melepasi peringkat PMPLS4 mereka akan mewakili rantau Asia ke pertandingan peringkat dunia," katanya.

Katanya, penglibatan terus kerajaan negeri dalam pasukan itu akan menjadikan sukan elektronik di negeri ini sebagai salah satu jenis sukan yang boleh dimanfaatkan oleh anak muda.

"Bagi matlamat jangka panjang, Negeri Sembilan menyasarkan melahirkan bakat-bakat pemain e-sport yang boleh diangkat ke pertandingan peringkat ASEAN seperti Sukan SEA kerana e-sport merupakan salah satu kategori sukan yang diiktiraf dalam acara Sukan SEA," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!