Tabung kecemasan, talian hayat

Langit tidak selalunya cerah, oleh itu melaburlah untuk membina tabung kecemasan yang boleh digunakan sebagai sandaran waktu memerlukan
Langit tidak selalunya cerah, oleh itu melaburlah untuk membina tabung kecemasan yang boleh digunakan sebagai sandaran waktu memerlukan
A
A
A

Ketiadaan tabung kecemasan merupakan antara sebab utama mengapa ramai antara kita berdepan masalah kewangan apabila berlakunya perkara luar dugaan, malahan ada yang terpaksa menambah hutang semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Tidak dinafikan sikap memandang remeh keperluan melabur dan membina tabungan ketika masih sihat dan mempunyai pendapatan tetap merupakan antara faktor ramai yang gagal membina tabung kecemasan.

Alasan seperti gaji kecil, tiada maklumat dan pengetahuan serta tidak berasakan pelaburan itu penting merupakan antara sebab utama ramai memilih untuk tidak melabur sedangkan realitinya kita tidak perlu pun menjadi pelabur sofistikated untuk membina tabungan kecemasan.

Cukuplah dengan mengenepikan sedikit daripada pendapatan setiap bulan dengan mengurus gaji dan hutang dengan bijak. Ini kerana perkara paling penting dalam membina tabungan bukanlah pendapatan yang diterima, tetapi bagaimana wang diuruskan.

Sepertimana saranan ramai penasihat kewangan, kita dinasihatkan untuk memperuntukkan antara 5-10 peratus daripada gaji untuk dilaburkan setiap bulan.

Kita sebenarnya tidak perlu mengenepikan sejumlah wang yang terlalu besar setiap bulan hingga mengurangkan kualiti hidup semasa, sebaliknya tetapkan jumlah yang kita selesa dan beri komitmen tinggi untuk melabur secara konsisten

Jika kita mampu melabur RM50 setiap bulan pun sebenarnya sudah cukup untuk membina tabungan, yang penting disiplin dan komitmen untuk melakukannya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sebagai contoh, dengan pelaburan secara konsisten sebanyak RM50 sebulan sahaja pun, kita berpeluang memiliki tabungan sekurang-kurangnya RM3,000 selepas 5 tahun (dengan andaian pulangan purata 4 peratus).

Jumlah ini pastinya akan terus bertambah jika kita terus melabur dan tidak mengeluarkan wang berkenaan kecuali jika benar-benar memerlukan.

Antara instrumen pelaburan yang sesuai untuk membina tabung kecemasan ialah pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputeara (ASB) dan deposit tetap.

Memilih pelaburan berisiko rendah amat penting kerana kita tidak mahu kehilangan modal pelaburan walau dalam apa juga keadaan sekalipun, dan pada masa yang sama kita dapat menjana pendapatan stabil untuk jangka panjang.

Ini berbeza berbanding pelaburan dalam emas atau pasaran saham yang mana kita mungkin kerugian ketika menebusnya kerana harga jualan berkait rapat dengan turun naik harga saham atau komiditi berkenaan.

Selain itu, instrumen pelaburan untuk tabung kecemasan mestilah mempunyai kecairan tinggi iaitu boleh dikeluarkan dengan pantas pada waktu memerlukan tanpa menjejaskan nilai pelaburan.

Pelaburan dalam ASB memenuhi kriteria ini kerana kita tidak akan kehilangan pelaburan memandangkan ASB berharga tetap dan wang boleh dikeluarkan dengan pantas apabila diperlukan.

Sememangnya, waktu bujang merupakan waktu terbaik untuk mula membina tabung kecemasan kerana pada masa itu komitmen masih rendah. Sebelum mengambil sebarang pinjaman, pastikan juga kita sudah membina tabung kecemasan supaya kedudukan kewangan terus stabil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!