Anwar sambut baik Muhyiddin letak jawatan
SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut berkata, peletakan jawatan itu juga akan membuka ruang ke arah perubahan bagi Malaysia.
"Saya turut menggesa semua pihak untuk kembali bertenang dan berdoa supaya Malaysia bangkit dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kepada negara ini.
Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!