Kerajaan perlu tumpu tangani krisis kesihatan, masalah ekonomi
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memberi sepenuh perhatian untuk menangani krisis kesihatan dan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara supaya dapat menyelamatkan lebih banyak pekerjaan, kata Pakar Ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.
Beliau berkata, Malaysia seharusnya mempelajari lebih awal dan mencontohi negara-negara Asia Timur seperti China, Korea Selatan, Vietnam dan Laos yang dapat menangani krisis kesihatan negara mereka dengan baik.
“Sesiapa sahaja yang berada di Putrajaya, mereka mesti menangani masalah ini. Negara-negara seperti China, Korea Selatan, Vietnam dan Laos, malah sebahagiannya adalah lebih miskin daripada Malaysia tetapi mereka dapat menangani keadaan dengan lebih baik.
“Situasi bahaya masih belum selesai dan mereka terus berwaspada sepertimana kita sepatutnya berwaspada juga,” katanya dalam Wacana Ekonomi Manusiawi Siri Ke-5 bertajuk ‘Krisis Politik dan Ekonomi: Apa Masa Depan Malaysia?’ secara maya baru-baru ini.
Jomo turut memetik kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa setiap angka yang diumumkan berkemungkinan ada kira-kira tiga individu lain yang telah dijangkiti dan tidak dikenali serta angka sebenar jangkitan mungkin empat kali ganda.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan perkiraan atau perhitungan politik jangka pendek untuk mempengaruhi dasar kesihatan dan ekonomi.
“Dalam situasi sekarang ini, terdapat bahaya yang cukup besar. Dari segi ekonomi, kita dapati kebanyakan negara-negara membangun akan pulih sedikit demi sedikit tetapi tidak akan kembali kepada keadaan sebelum pandemik.
“Mungkin kesan kemerosotan yang sudah berlaku akan berlanjutan menjadi kemelesetan,” katanya.
Jomo berkata, antara punca yang membawa kepada masalah tersebut adalah kos ubat-ubatan yang tinggi, ujian makmal, alat kelengkapan kesihatan dan vaksin yang tidak mampu diperoleh oleh kebanyakan orang di dunia.
“Pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (COVAX) yang ada misalnya hanya untuk mereka yang mampu membeli vaksin seperti negara-negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia.
“Jika dilihat senario terdapat negara-negara yang tidak mampu untuk membeli vaksin. Ini menunjukkan pandemik akan berlarutan di negara berkenaan dan mutasi akan berlaku.
“Ini berbahaya, kemungkinan varian baharu seperti varian Delta akan timbul dan kita tidak dapat mengawal keadaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, punca lain ialah kebanyakan negara-negara membangun tidak mampu untuk berbelanja.
“Negara-negara membangun mendapati sukar untuk mereka berbelanja berikutan selalu berfikir 'mesti pinjam dari luar'.
“Bagi menghidupkan atau memulihkan ekonomi bukan pinjaman dari luar yang penting tetapi pinjaman dari dalam untuk memastikan kecairan yang mencukupi supaya ekonomi dapat bergerak,” katanya dan menambah bahawa kemelut politik ketika ini turut memberi impak yang besar bukan hanya kepada ekonomi tetapi juga usaha untuk mengawal pandemik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!