Sikh Izhan raih penampilan sulung Liga Super di usia 19 tahun
IMPIAN penjaga gol muda berpotensi negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman beraksi di kancah tertinggi saingan domestik akhirnya tercapai selepas diberikan kepercayaan mempertahankan gawang Selangor FC pada aksi Liga Super, Jumaat lalu.
Kemunculan pertama Sikh Izhan, 19, bersama skuad Gergasi Merah itu hadir selepas tujuh bulan bertungkus lumus berusaha membuktikan kemampuannya sejak diserapkan dalam skuad utama daripada Selangor FC II pada Disember tahun lalu.
Lebih manis, pada penampilan Liga Super sulungnya, pemain berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang itu berjaya membantu Selangor FC menumbangkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar sekali gus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut buat pasukan.
Menceritakan tentang faktor di sebalik pencapaian terbaiknya itu, Sikh Izhan berkata, sokongan berterusan daripada keluarga dan ketua jurulatih Selangor FC II, Michael Feichtenbeiner membantunya untuk mengharungi detik jatuh bangun karier profesionalnya.
“Michael (Feichtenbeiner) bertanggungjawab meningkatkan prestasi saya di atas padang semasa latihan dan perlawanan dan kini saya hanya perlu mengekalkan konsistensi dan teruskan belajar,” katanya.
Jelas Sikh Izhan yang juga merupakan penjaga gol skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan, Feichtenbeiner, 61, adalah seorang jurulatih yang bersikap terbuka dan berpengalaman, sekali gus tidak kekok bagi dirinya untuk berkongsi dan bertukar pendapat bersama jurulatih kelahiran Jerman itu.
Pada masa sama, Sikh Izhan berkata, bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pemain bertaraf antarabangsa beliau memerlukan lebih masa permainan dan Selangor FC membantu beliau menjadi pemain lebih baik dari semasa ke semasa.
"Mungkin menurut sesetengah pihak saya masih muda, tetapi saya harus belajar dan sesuaikan dengan lebih cepat. Cita-cita saya untuk beraksi di persada dunia tidak pernah padam," katanya yang mengidamkan beraksi di luar negara sejak kecil.
Sikh Izhan muncul penjaga gol tunggal dalam kalangan lima pemain Selangor FC II, selain Sharul Nazeem Zulphakar, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Ahmad Zikri Khalili dan Ahmad Danial Ahmad Asri, yang diserap ke dalam skuad Selangor FC awal musim ini.
Sementara itu, pemain berketinggian 180 sentimeter (sm) yang meletakkan penjaga gol Manchester United, David de Gea sebagai idola, mengakui sering merujuk video ulang tayang perlawanan bagi melihat kelemahan dan kesilapan yang perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang.
"Bola sepak adalah satu permainan berintensiti tinggi, dan sedikit kesilapan boleh mengundang kekalahan kepada pasukan," katanya yang meminati aktiviti futsal dan memancing.
Dalam pada itu, peluang bersaing secara sihat dengan penjaga gol skuad kebangsaan yang juga penjaga gol utama Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid turut memberi Sikh Izhan banyak input baharu selain berazam untuk terus memberikan saingan kompetitif di posisi penjaga gol. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!