Rahmat kepada pengusaha ikan kering
PORT DICKSON - Cuaca panas yang dialami negara ketika ini memberi rahmat kepada pengusaha ikan kering di sini.
Seorang daripada mereka, Zakaria Wahab, 61, berkata, cuaca panas mempercepat proses pengeringan ikan yang kini hanya mengambil masa sehari bagi kebanyakan ikan berbanding dua hingga tiga hari sebelum ini.
"Ikut saiz dan ketebalan ikan, kalau ikan duri ambil masa dua hari untuk kering tapi bagi ikan-ikan lain seperti selangat, sehari sahaja,” katanya.
Katanya, dia mula menyusun ikan seawal 7 pagi dan diangkat sekitar 4 atau 5 petang untuk dibungkus.
Dia yang memulakan perniagaan itu sejak enam bulan lalu berkata, kebanyakan stok ikan keringnya adalah untuk memenuhi permintaan kenduri kahwin.
Sementara itu, nelayan Azmi A Malek, 55, dari perkampungan nelayan Kampung Telok di sini, berkata cuaca panas tidak menghalangnya ke laut.
"Panas itu memang panas dan saya mengalami kesukaran untuk tidur dengan keadaan muka yang agak panas pada waktu malam sehingga perlu membasahkan kain dengan air dan menuam di muka untuk meredakan kepanasan sebelum tidur,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!