IPOH - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin dimaklumkan bahawa analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia ke atas beberapa eksibit dalam kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong tidak menemukan kesan air mani. Pengarah Bahagian Forensik DNA, Jabatan Kimia Nor Aidora Saedon berkata, eksibit yang dihantar kepadanya untuk dianalisis termasuk pakaian dari tempat kejadian iaitu baju, seluar, seluar dalam serta keratan tilam. "Saya telah menjalankan ujian asid fosfatase bagi mengenal pasti kehadiran air mani dan saya juga telah melihat beberapa tompokan yang ditandakan sebelum ia dihantar kepada saya. Keputusan ujian menunjukkan bahawa tiada kesan air mani dijumpai pada pakaian-pakaian tersebut. "Ujian asid fosfatase adalah ujian yang sahih bagi pengenalpastian ujian air mani maka kenapa ia tiada, tidak dapat saya jawab," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed. Saksi pendakwaan ke-17 itu juga berkata, kesan air mani pada mop pula tidak dapat dikesan dengan ujian itu atas beberapa faktor antaranya kerana ketiadaan air mani, telah dibasuh dengan bersih atau ada namun terlalu sedikit dan telah mengalami degradasi akibat suhu melampau (suhu tinggi dan kelembapan tinggi). Nor Aidora turut memaklumkan pengesanan air mani melalui proses ‘polilight’ bukan satu analisis pengesahan dan ia hanya dilakukan sebelum analisis asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia. Beliau berkata, analisis itu turut tidak mengesan kehadiran DNA pada beberapa helai rambut atas beberapa faktor iaitu ketiadaan akar rambut yang masih mempunyai DNA serta belum mengalami degradasi dan jika ada, DNA itu telah mengalami degradasi akibat suhu tinggi atau kelembapan melampau. Ketika disoal balas oleh peguam, Datuk Rajpal Singh, saksi itu bersetuju bahawa ujian polilight bukan hanya melibatkan kehadiran air mani tetapi juga cecair lain sama ada biologi atau air teh yang boleh menunjukkan hasil warna hampir sama. Katanya, laporan kimia turut mengesan satu profil DNA campuran daripada ekstrak sel bukan sperma terdiri daripada sekurang-kurangnya dua individu pada putik kapas yang mana DNA yang terdapat adalah lemah dan tidak konklusif hingga tiada perbandingan dapat dilakukan dengan spesimen darah yang diterima. Turut memberi keterangan Juruanalisa Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia Cheras ASP Latifah Abdul Aziz sebelum prosiding ditangguhkan pada 5 petang dan bersambung pagi esok (Selasa). Pendakwaan dikendalikan Azlina dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala pembelaan diketuai Rajpal. Mahkamah telah mendengar keterangan 18 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 5 April lepas. Paul Yong, 51, didakwa atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Paul Yong telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. - Bernama