Agropreneur muda lebih kreatif ketika PKP
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu membuatkan seorang anak muda lebih kreatif apabila menghasilkan produk inovasi untuk terus ‘bernafas’.
Pemilik Rasna Bukhari Enterprise, Muhammad Bukhari Mohd Rashid berkata, perniagaan ternakan kambing tenusunya agak suram susulan kurang tempahan daripada pelanggan selepas negara dilanda wabak Covid-19.
Muhammad Bukhari, 28, berkata, idea untuk menghasilkan produk inovasi tercetus selepas dia tidak dapat menjual susu kambing secara terus kepada pelanggannya.
“Saya mengambil cabaran perniagaan ketika PKP ini dengan mencipta produk inovasi daripada susu kambing antaranya keju, dadih dan kefir (yogurt). Semua ini saya proses sendiri.
“Selain produk tenusu, saya memproses najis kambing untuk dijadikan baja. Saya juga menjual benih rumput yang mana bahagian atas dijadikan makanan kambing manakala bahagian bawah saya jual sebagai benih rumput.
“Semua produk inovasi saya ini dijual di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Bagi baja dan susu kambing pula, selain lebih 20 ejen saya di Lembah Klang dan di kawasan utara, saya juga menjualnya di Lazada dan Shopee,” katanya.
Muhammad Bukhari yang kini mempunyai 64 ekor kambing berkata, dia juga menjual anak kambing jantan kepada pembeli sebagai alternatif peniagaan.
“Jika dahulu saya selalu masuk ekspo dan menjual produk secara terus, namun kini sudah tiada. Oleh itu, untuk mengekalkan perniagaan, saya perlu mencari jalan lain demi kelangsungan hidup sejak awal tahun ini.
“Sambutan amat memberangsangkan walaupun hanya jual dalam talian. Alhamdulillah, dengan pelaburan RM25,000, perniagaan yang saya usahakan sejak 2015 ini mampu bertahan sehingga sekarang,” katanya.
Geran
Muhammad Bukhari yang berkelulusan Diploma Kawalan Numerikal Komputer itu berkata, dia menerima bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) pada tahun 2019 berjumlah RM20,000.
“Saya terima geran melalui Program Agropreneur Muda (PAM) ini dalam bentuk tempat memproses baja organik dan stor simpanan makanan ternakan.“Saya bersyukur kerana ia membantu mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan atas tanah milik arwah ayah,” katanya.
Pengusaha sayur secara sistem fertigasi, Ahmad Hedri Muzammil Abdul Malik, 28, pula berkata, dia bersyukur kerana menerima bantuan geran berjumlah RM20,000 sejak tahun 2019.Ahmad Hedri Muzammil yang menjalankan projek tanaman sayuran di Guar Perahu, Kubang Semang berkata, dengan bantuan tersebut selain rajin berusaha, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM77,880 setahun.
“Saya mulakan perniagaan pada 2017 dengan hanya 500 polibeg dan kini saya mempunyai hampir 10,000 polibeg. Saya mengusahakan perniagaan ini di atas tanah keluarga seluas 1.61 hektar.
“Saya menanam timun, cili, petola dan peria. Saya memulakan perniagaan kerana minat namun bersyukur mendapat bantuan geran melalui PAM.
“Melalui geran ini, saya dapat menjadikan kebun saya lebih baik dengan penerimaan tiang konkrit, pam air dan politank. Bantuan seumpama ini sangat bagus kerana ia membantu usahawan seperti saya untuk terus berjaya,” katanya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Geomatik itu berkata, perniagaannya menurun antara 30 hingga 40 peratus sepanjang pelaksanaan PKP ini.
“Walaupun saya mempunyai kerja tetap sebagai juruukur, namun terasa juga apabila perniagaan menurun sedikit.
“Permintaan sayur-sayuran kurang kerana ada kedai makan yang tidak buka selain kenduri pun tidak boleh diadakan. Ditambah cabaran lain seperti cuaca dan serangan serangga serta kulat,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik Ifa Homemade Bakeri, Fasihah Nordin, 34, pula berkata, dia mula menjalankan perniagaannya dari rumah secara sambilan sahaja berikutan ketika itu, dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat.
Menurutnya, selepas mendapat permintaan yang tinggi, dia yang menjalankan perniagaan di Paya Keladi, Kepala Batas akhirnya berhenti kerja dan menjalankan perniagaan pastri serta kek sepenuh masa.
“Saya mengambil keputusan untuk membina kedai di atas tanah suami dan mula beroperasi di situ pada Disember tahun lalu.
“Syukur atas bantuan GAM bernilai RM15,000 pada 2019 iaitu dalam bentuk ketuhar, chiller dan beberapa barangan lagi. Dengan bantuan ini, ia melancarkan lagi perniagaan saya.
“Terima kasih kepada kementerian kerana mengadakan inisiatif bantuan ini yang banyak membantu usahawan untuk berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.
Galakan
Ketiga-tiga mereka adalah antara agropreneur penerima bantuan di bawah PAM yang dilancarkan khas untuk golongan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membantu usahawan muda dalam perniagaan mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program itu bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan yang merangkumi kesemua bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.
Menurutnya, secara keseluruhannya, seramai 7,571 agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan PAM dari 1 Januari 2016 hingga 31 Julai 2021 yang berjumlah RM155 juta.
“Jumlah itu merangkumi 7,406 agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan GAM yang berjumlah RM131.86 juta.
“Daripada jumlah itu juga, 165 agropreneur muda telah menerima kelulusan pembiayaan PAM yang berjumlah RM23.13 juta.
“Bagi tahun ini, seramai 498 agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan GAM dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu yang berjumlah RM9.91 juta,” katanya.
Beliau berkata, bagi Pulau Pinang pula, seramai 240 agropreneur muda telah menerima kelulusan GAM sejak 1 Januari 2016 hingga 31 Julai tahun ini yang berjumlah RM 4.23 juta.
“Untuk tahun ini sahaja, 13 agropreneur di negeri ini telah menerima kelulusan GAM yang berjumlah RM260,000.
“Sementara itu, di kawasan Seberang Perai, seramai 36 agropreneur muda telah menerima kelulusan GAM sepanjang program ini iaitu dari 2016 hingga Julai tahun ini dengan jumlah RM650,000,” katanya.
Sasaran
Mengulas mengenai sasaran usahawan untuk tahun ini, Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan 760 usahawan muda dengan peruntukan yang disediakan berjumlah RM15 juta.
“Skop program ini merangkumi bantuan antaranya menyediakan bantuan geran berbentuk barangan sehingga RM20,000 bagi projek baharu, menyediakan bantuan modal melalui Pakej Pembiayaan Khas Tekun Nasional sehingga RM50,000 dan Pakej Pembiayaan Agro-YES melalui Agrobank sehingga RM500,000 Fasihah (kiri) menunjukkan ketuhar yang diperoleh melalui GAM kepada Ahmad.
“Selain itu, ia juga menyediakan kursus jangka pendek, khidmat nasihat teknikal selain kewangan melalui jabatan dan agensi berkaitan di bawah kementerian.
“Dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19, bantuan geran di bawah program ini dilihat amat bertepatan kerana usahawan antara golongan yang terkesan apabila perniagaan mereka terjejas akibat pelaksanaan PKP yang
membataskan pergerakan orang ramai,” katanya.
Ahmad sebelum itu telah mengadakan lawatan kerja ke Seberang Perai bagi meninjau perniagaan usahawan muda yang menerima bantuan di bawah PAM.
Katanya, tujuan utama lawatan itu adalah untuk merapatkan hubungan antara pihak kementerian dan golongan sasar.
“Dalam masa sama, pihak kementerian juga boleh menyampaikan segala maklumat dan informasi berkaitan bantuan dan inisiatif kepada rakyat.
“Program turun padang ini akan diteruskan bagi membolehkan jabatan dan agensi yang memantau pelaksanaan projek di bawah PAM dapat berjumpa secara bersemuka dan saling berbincang dengan agropreneur muda sebagai usaha memperkasakan sektor ini,” kata beliau.
Syarat kelayakan pemohon:
-Warganegara Malaysia
- Berusia 18 hingga
40 tahun
-Boleh membaca, mengira dan menulis
Keutamaan kepada individu yang mempunyai tanah atau premis sedia ada untuk pelaksanaan projek
Program Agropreneur Muda merangkumi:
-Tanaman (fertigasi, lebah madu, buah-buahan, sayur-sayuran)
-Ternakan (lembu, kambing, ayam kampung, itik dan perkhidmatan sokongan dan input pertanian)
-Perikanan (akuakultur kolam, akuakultur sangkar, penangkapan ikan, pembenihan dan perkhidmatan sokongan dan input pertanian)
-Industri makanan (projek pemprosesan bahan makanan dan bukan makanan dalam sektor agromakanan)
-Agropelancongan (tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani)
-Pemasaran karavan tani, food truck dan kios makanan bergerak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!