Maqis rampas potongan ayam sejuk beku bernilai RM250,000

Tarikh luput di kotak dan sijil menunjukkan tidak sepadan dan mengelirukan. Kenderaan yang membawa potongan ayam sejuk beku dari Thailand dikesan memberi maklumat mengelirukan anggota penguat kuasa.
Tarikh luput di kotak dan sijil menunjukkan tidak sepadan dan mengelirukan. Kenderaan yang membawa potongan ayam sejuk beku dari Thailand dikesan memberi maklumat mengelirukan anggota penguat kuasa.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas potongan ayam sejuk beku bernilai RM250,000 kerana didapati tarikh luput tidak sepadan pada Jumaat lalu.

Jurucakap Maqis Negeri Kedah berkata, potongan ayam berkenaan dibawa masuk dari Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan terdapat sebanyak 2,084 kotak dengan berat 25,008 kilogram potongan ayam sejuk beku dalam kontena tersebut.

"Kita dapati bahawa pengendali telah mengemukakan maklumat dan dokumen yang mengelirukan di mana tarikh luput pada kotak dan sijil tidak sepadan menyebabkan kontena tersebut ditahan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, kegagalan untuk mengemukakan maklumat yang tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali mengikut akta yang sama," katanya.

Katanya, Maqis sentiasa komited melakukan penguatkuasaan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keluaran pertanian yang diimport dan dieksport ke dalam serta luar negara mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Ia juga bagi memastikan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!