Peruntukan RM333,600 untuk 39 pusat jagaan kanak-kanak
GOPENG - Kerajaan Perak menyalurkan peruntukan sebanyak RM333,600 bagi membantu kanak-kanak yang ditempatkan di 39 pusat jagaan berdaftar tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, jumlah itu membabitkan 1,112 kanak-kanak mengikut kadar RM300 setiap seorang.
Menurutnya, bantuan 'one-off' yang digerakkan kerajaan negeri sejak tahun lalu itu antara lain bagi membantu meringankan kos operasi pusat jagaan yang berada di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Tahun lepas juga kita peruntukan jumlah yang sama iaitu RM300 setiap orang dan bantuan ini kita diberikan khusus kepada pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM mengikut jumlah penghuni yang ada.
"Tujuannya tidak lain bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terjaga terutama dalam situasi pandemik Covid-19 ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program penyampaian sumbangan kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak di bawah kendalian JKM Perak di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JKM Perak, Nor Asikin Ibrahim.
Wan Norashikin berkata, bagi pusat jagaan yang tidak berdaftar dengan JKM, bantuan tetap disalurkan mengikut bentuk permohonan yang dimajukan kepada kerajaan negeri.
Katanya, kebanyakan pusat jagaan ini memohon sumbangan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan dan ia diluluskan mengikut kriteria tertentu sama ada bagi tujuan aktiviti atau operasi.
"Kita akui ada peningkatan permohonan daripada pusat jagaan yang tidak berdaftar sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini dan kerajaan negeri juga telah meluluskan bantuan itu, cuma jumlahnya tidaklah sama.
"Kerana itu kita selalu galakkan agar pusat-pusat jagaan seperti ini segera berdaftar dengan JKM supaya lebih terjamin dan dapat dipantau lebih baik oleh kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!