Kemelut politik wajar jadi pengajaran buat semua

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

TEMERLOH - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyifatkan kemelut politik yang melanda negara perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Beliau berkata sedemikian susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinetnya meletakkan jawatan pada Isnin selepas beliau mengakui tidak mempunyai sokongan majoriti.

Negara kata beliau, memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman bukan sahaja untuk mentadbir negara malah menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang kita hadapi sekarang.

"Kemelut politik ini sewajarnya dijadikan pengajaran buat semua pihak kerana ia tidak membantu ketika negara sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan akibat Covid-19.

"Usahlah kita terus mencari kesalahan mana-mana pihak kerana keputusan telah pun dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terima kasih sepanjang perkhidmatan yang diberikan oleh Tan Sri dan seluruh anggota kabinetnya atas tugas yang dilaksanakan sepanjang tempoh menjawat jawatan yang diamanahkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Isnin.

Tambahnya, selepas ini semua pihak menyerahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik kerajaan baharu supaya pentadbiran negara dapat berjalan seperti biasa.

"Apa yang penting, krisis kesihatan ekoran wabak Covid-19 dapat segera diatasi, negara segera mencapai imuniti kelompok dan rakyat pulih daripada kemelut kekalutan ekonomi yang berlaku.

"Buat semua ahli UMNO, kita perlu kembali bersatu hati di bawah parti keramat orang Melayu ini," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohd Sharkar, Perikatan Nasional (PN) sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara.

"Kita perlu terus bersatu hati bukan sahaja di bawah UMNO malah BN yang selama ini telah terbukti sebagai pentadbir yang berjaya di tanah air tercinta ini.

"Seteruk mana pertengkaran antara dua beradik akan berbaik semula seperti biasa. Sama seperti pepatah air dicincang tidak akan putus," jelasnya.

Tegasnya, perkara tersebut yang perlu dilaksanakan UMNO dan BN sesuai dengan peribahasa Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!