Remaja rugi RM36,800 diperdaya 'Datuk Hafiz'
IPOH - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kerugian RM36,800 apabila diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis bergelar Datuk.
Mangsa dikenali sebagai Jay Ng berkata, dia terjerat dengan penipuan terbabit selepas menerima panggilan daripada pihak telekomunikasi yang mendakwa akaun telefonnya terlibat dalam kegiatan judi haram di Seremban.
"Panik dengan keadaan itu, saya diminta untuk membuat laporan dan panggilan saya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk bercakap dengan Inspektor Omar.
"Gaya percakapan mereka seperti polis sebenar apabila mereka akan buka siasatan dan menyatakan akta-akta serta hukuman yang bakal dikenakan termasuk penjara jika tidak beri kerjasama," katanya menerusi sidang akhbar secara maya di sini pada Selasa.
Menurut Jay Ng, dia kemudiannya diarahkan oleh pegawai polis dikenali Datuk Hafiz untuk memindahkan wang ke dalam dua akaun lain kononnya bagi melindungi wangnya.
"Pegawai terbabit mengambil butiran perbankan dalam talian dan meminta saya memindahkan kesemua wang tersebut.
Disebabkan takut, saya mengikuti arahannya.
"Pegawai terbabit memantau aktiviti pindah wang menerusi panggilan video.
Saya tidak mengesyaki apa-apa apabila nombor telefon yang tertera adalah milik IPD terbabit," katanya.
Jay Ng berkata, wang tersebut adalah milik mendiang ibunya yang ditinggalkan untuk kegunaan sambung belajar nanti.
"Saya sedar ditipu apabila memaklumkan perkara ini kepada bapa.
Bapa minta saya hentikannya dan kami terus membuat laporan polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, semakan menerusi aplikasi Semak Mule Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mendapati dua akaun tersebut termasuk dalam senarai amaran.
"Menjadi persoalan kenapa akaun berkenaan tidak dibekukan?
Kenapa ia masih aktif diguna pakai oleh sindiket?
"Diharapkan pihak polis dan Bank Negara dapat bekerjasama untuk mengambil tindakan lanjut agar jenayah penipuan yang semakin bermaharajalela di seluruh negara kita dapat dibendung," katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mendedahkan nombor akaun bank, butiran perbankan dalam talian dan kata laluan kepada pihak yang tidak dikenali.
"Kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon mendakwa daripada pihak penguat kuasa seperti polis dan sebagainya kerana dikhuatiri ia panggilan palsu.
"Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil. Semak terlebih dahulu atau boleh pergi balai polis terdekat untuk pengesahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!