Ahmad Zahid, Mat Sabu, Guan Eng tiba di Istana Negara

Kenderaan yang membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memasuki Pintu 2 Istana Negara.- FOTO ROSLI TALIB
Kenderaan yang membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memasuki Pintu 2 Istana Negara.- FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat memasuki Istana Negara pada petang Selasa.

Sebelum itu, kenderaan yang dipercayai membawa Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut dilihat memasuki Istana Negara.

Kenderaan yang membawa wakil-wakil parti politik itu dilihat masuki Pintu 2, Istana Negara pada jam 1.58 petang.

Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan selepas mendapat menyembah maklum dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keputusan tersebut dibuat selepas Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti ekoran 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu kini menjalankan tugas selaku Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Perkara tersebut selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Selain itu Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020 khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!