Dakwaan bantuan makanan lewat tidak benar

Wan Norashikin pada program penyampaian sumbangan kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak di bawah kendalian JKM Perak di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah di sini pada Selasa.
Wan Norashikin pada program penyampaian sumbangan kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak di bawah kendalian JKM Perak di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah di sini pada Selasa.
A
A
A

GOPENG - Kerajaan Perak menafikan dakwaan berat sebelah hingga bantuan lambat disampaikan kepada penduduk orang asli yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam daerah Batang Padang.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pengagihan bantuan makanan di kawasan PKPD itu telah dilakukan secara penyelarasan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Menurutnya, tidak hanya melalui kerajaan negeri, wakil rakyat juga telah bertindak proaktif dengan menyalurkan bantuan makanan keperluan kering dan basah termasuk ayam, ikan dan sayuran kepada penduduk terlibat.

"Memang kebanyakan tempat yang kita wartakan PKPD kerajaan negeri akan salurkan bantuan bukan hanya untuk makanan tetapi keperluan lain juga dan kita lihat wakil rakyat kawasan menjalankan tugas dengan baik apabila turut menyalurkan pelbagai jenis bantuan makanan.

"Bagi kawasan PKPD Batang Padang, bantuan bakul makanan adalah di bawah Pejabat Daerah dan Tanah bersama Jakoa sementara serahan dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Sistem yang telah kita susun ini adalah yang terbaik dan saya kira isu kelewatan itu tidak timbul kerana apabila ada penyelarasan sebegini, tidak berlaku longgokan mahupun kelewatan," katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak di bawah kendalian JKM Perak di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa penduduk orang asli di 23 lokaliti dalam daerah Batang Padang belum menerima sebarang bantuan makanan seperti dilaporkan media pada 14 Ogos lepas.

Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar dipetik berkata, kesemua penduduk di perkampungan tersebut kini terputus bekalan makanan dan kelaparan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Norashikin berkata, setakat ini JKM tidak menerima sebarang laporan isu kelaparan mahupun terputus bekalan makanan membabitkan penduduk di kawasan PKPD itu.

"Jika berlaku seperti yang didakwa, sudah pasti kita akan turun bantu dan siasat, namun dalam hal ini, Jakoa telah memainkan peranan dengan baik dalam menjaga kebajikan penduduk orang asli di situ," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook Jakoa Perak dan Kedah memaklumkan, set bantuan makanan telah diberikan kepada 4,949 ketua isi rumah orang asli di daerah Batang Padang sejak PKPD dikuatkuasakan secara berperingkat 24 Julai lalu.

Bermula 13 Ogos pula, Pejabat Daerah dan Tanah telah menghantar makanan kering kepada 19 kampung orang asli membabitkan 1,211 ketua isi rumah antaranya beras, biskut kering, gula, tepung, minyak masak dan susu.

"Diharap mana-mana individu atau NGO tidak lagi membuat sebarang spekulasi dan tular berkaitan keadaan yang tidak tepat seperti ini lagi.

"Kami di pihak Jakoa bersama jabatan dan agensi lain sentiasa berusaha membantu dan melaksanakan khidmat kepada masyarakat orang asli yang terjejas sumber keperluan makanan sepanjang tempoh PKPD ini berdasarkan lunas garis panduan yang diperuntukkan oleh kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!