Pengalaman di Itali matangkan Lukaku
BINTANG Belgium, Romelu Lukaku menyifatkan dirinya semakin matang dan sempurna apabila kembali menyertai Chelsea sejak kali terakhir beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) dua tahun lalu.
Malah menurut Lukaku, dia begitu teruja untuk melakukan penampilan semula bersama kelab London tersebut apabila berkunjung menentang Arsenal di Stadium Emirates pada Ahad ini.
“Sejujurnya saya dapat merasakan diri ini cukup sempurna apabila dapat kembali semula ke saingan Liga Perdana Inggeris yang ditinggalkan dua tahun sebelum ini.
“Sebelum ini saya mempelajari dan melengkapkan pelbagai kemahiran sebagai seorang pemain penyerang ketika berada di saingan liga luar.
“Di Stamford Bridge, sebagai penyerang saya mahu terus meningkat setiap masa selain menambah kekuatan,” kata Lukaku.
Pemain berusia 28 tahun tersebut kembali menyertai Chelsea dari Inter Milan dengan bayaran perpindahan bernilai £98 juta (RM574.78 juta) minggu lalu.
Untuk rekod di San Siro, Lukaku muncul penjaring terbanyak Inter Milan apabila meledak 24 gol pada saingan Serie A musim lalu, selain mengetuai kelab tersebut meraih kejuaraan Scudetto buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.
Bagaimanapun bekas pemain Everton dan Manchester United itu tidak bermain ketika Chelsea membelasah Crystal Palace 3-0 pada pembukaan liga di Stamford Bridge Sabtu lalu.
Jelas Lukaku, tekad baharu beliau bersama The Blues kendalian Thomas Tuchel kali ini adalah untuk meraih lebih banyak kejuaraan buat penyandang juara Liga Juara-Juara tersebut.
“Pengalaman dua tahun bersama Inter Milan akan saya gunakan tidak hanya membantu pasukan meraih kemenangan tetapi juga menghadiahkan penyokong-penyokong Chelsea kegembiraan.
“Paling penting saya mahu memastikan pemain-pemain Chelsea selesa dan boleh bergantung kepada saya dalam sebarang situasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!