Agong mahu politik baharu yang lebih aman, nyaman
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan satu politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk seluruh rakyat Malaysia.
Demikian penjelasan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Selasa.
"Seri Paduka Baginda memulakannya dengan titah nasihat bahawa negara ketika ini dalam kemelut politik dan harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan juga kemelesetan ekonomi.
"Seri Paduka Baginda juga turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, mencari calon perdana menteri yang mendapat majoriti sokongan ahli Parlimen, tetapi politik perlu berubah.
"Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baharu.
"Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang perdana menteri baharu, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Seri Paduka Baginda dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Pintu 2 Istana Negara selepas sesi pertemuan tersebut.
Hadir sama pada pertemuan tersebut ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pada Selasa semua ketua dan wakil parti dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang.
Difahamkan perjumpaan itu diadakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri.
Muhyiddin melepaskan jawatan susulan tidak lagi mendapat sokongan majoriti selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, semua parti-parti politik turut memberikan pandangan masing-masing kepada Seri Paduka Baginda.
"Jadi terdapat konsensus antara parti untuk menghentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan dengan cara pelanggaran peraturan dan hukum," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!