Empat bot nelayan Vietnam ditenggelamkan, jadi tukun tiruan

Proses pelupusan terhadap kesemua bot yang telah dirampas serta dilucutkan hak itu dilakukan pada jarak 4.4 batu nautika dari Pantai Sabak Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu. - Foto Bernama
Proses pelupusan terhadap kesemua bot yang telah dirampas serta dilucutkan hak itu dilakukan pada jarak 4.4 batu nautika dari Pantai Sabak Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan pada Selasa melupuskan empat bot nelayan asing Vietnam secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri itu.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, proses pelupusan bot-bot yang telah dirampas serta dilucutkan hak itu dilakukan pada jarak 4.4 batu nautika dari Pantai Sabak Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu.

Beliau berkata, kesemua bot nelayan yang ditenggelamkan itu dianggarkan berjumlah RM6 juta dengan nilai denda mahkamah sebanyak RM4.2 juta.

"Kesemua bot yang dilupuskan ditahan melalui Operasi Naga Barat pada 2019 dan Operasi Kuda Laut tahun lepas, atas kesalahan menceroboh perairan dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan Kelantan.

"Penahanan empat bot ini juga melibatkan penahanan 36 kru termasuk tekong nelayan Vietnam. Kesemuanya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya kepada Bernama dan RTM di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau ditemui selepas menyaksikan operasi pelupusan yang dilaksanakan selama kira-kira dua jam dan operasi turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok.

Syed Nor Adli berkata, bagi tahun ini operasi pelupusan berkenaan merupakan pelaksanaan kali kedua melibatkan bot nelayan asing Vietnam, dengan bagi kali pertama, ia dijalankan pada April dan Mei lepas melibatkan dua bot yang dilupuskan dengan kaedah dihancurkan.

"Sejak 2007, APMM Kelantan telah melupuskan 242 bot nelayan asing Vietnam dengan anggaran nilai RM363 juta. Sebanyak 181 bot dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan yang ditempatkan di sekitar perairan Tok Bali, Kuala Besar, Tumpat, Pulau Perhentian serta Taman Tukun Keputeraan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 16 bot dihancurkan berikutan struktur fizikal yang mereput dan tidak memiliki jangka hayat panjang untuk dijadikan tukun, 25 bot dijual atau dilelong dan 20 bot dihadiahkan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk universiti atas pelbagai jenis tujuan yang tidak melibatkan aktiviti perikanan," jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, kaedah pelupusan secara jual atau lelong telah dihentikan berikutan berlakunya komplot oleh warga tempatan yang menjadi ejen kepada pemilik asal dengan membida serta membeli bot yang dilelong kemudian dihantar semula ke Vietnam.

Sementara itu, Syed Nor Adli turut memaklumkan setakat ini terdapat 11 lagi bot nelayan asing Vietnam berada di Pusat Tahanan Vesel dan beliau menjangka semua bot itu akan dilupuskan tahun ini setelah mendapatkan perintah lucut hak oleh mahkamah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!