Sistem pendidikan perlu merangkumi aspek nilai kemanusiaan
SHAH ALAM - Sistem pendidikan dalam negara bukan sahaja perlu merangkumi aspek pengkhususan tetapi juga nilai kemanusiaan supaya tidak berlaku kegagalan pelajaran yang besar.
Profesor di Universiti UCSI, Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, pelajar yang mendapat PNGK 4.0 dan pengamal pendidikan juga gagal memahami aspek nilai tersebut.
“Oleh itu, pada bulan hadapan di forum global kami menganjurkan idea 60, 20, 20 dan ia adalah 60 peratus untuk subjek pengkhususan seperti kejuruteraan atau perubatan.
“Tetapi anda juga mesti mempunyai 20 peratus kredit dan perlu mengikuti kursus lain seperti jurusan sains dalam masa sama mesti mempunyai kursus lain seperti kemanusiaan dan lain-lain.
“20 peratus lagi adalah apa yang saya namakan agenda yang menjadi topik saya iaitu kerohanian global,” katanya dalam forum Powering The Nation’s Agenda for a Harmonious, Prosperous, Progressive and Sustainable Malaysia - The strategic Role of Science, Technology and Social Innovation secara maya pada Selasa.
Program tersebut turut dihadiri Ahli Majlis Universiti UCSI, Tan Sri Omar Abdul Rahman; Pengerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC); Pengarah Eksekutif 27 Advisory, Girish M Ramachandran dan Pengasas, Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan.
Sementara itu, Mohd Tajuddin berkata, penerapan subjek kerohanian dan nilai-nilai moral perlu dilaksanakan kepada pelajar supaya mereka tidak dikenal pasti sebagai golongan terpencil.
“Ini kerana saya berasal daripada Islam, dan kami diajar untuk bersih kerana kebersihan adalah sebahagian daripada kerohanian.
“Ada beberapa najis yang kita panggil seperti anjing dan ada ustaz yang memberitahu tidak boleh pergi rumah yang ada anjing jadi boleh mengelak terkena najis. Ini yang akan menghancurkan masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya, sistem pendidikan negara terlalu banyak teknologi dan sains yang menyebabkan mereka gagal memahami nilai kemanusian tersebut.
“Idea kerohanian global sama sekali tidak ada dalam sistem pendidikan kita sama ada anda melihat guru, profesor, pensyarah apa lagi yang anda harapkan daripada pelajar.
“Baru-baru ini Sungai Kim Kim hampir membunuh 2,000 pelajar, mengapa dibiarkan menjadi kehancuran kerana mereka melihat sungai sebagai air yang mengalir itu sahaja.
“Ini kerana, pengetahuan dan nilai-nilai kemanusiaan telah dipisahkan dari hari pertama kita bersekolah walaupun telah melakukan sesuatu yang hebat tetapi hasilnya tidak ada,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!