Cuaca panas: Tiada laporan hasil pertanian terjejas
PORT DICKSON - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga April ini tidak menjejaskan pengeluaran hasil pertanian negara.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, belum ada laporan berhubung hasil pertanian terjejas ekoran musim panas.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah tanaman memerlukan sumber air yang mencukupi dalam keadaan cuaca sebegini seperti padi.
"Pengurusan sumber air yang baik mampu memastikan tanaman padi mengeluarkan hasil yang ditetapkan dengan mematuhi jadual digariskan oleh kementerian melalui Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) .
"Oleh demikian, petani disarankan mengikuti jadual tersebut bagi mengelakkan masalah penghasilan padi susulan usaha ini merupakan kerjasama daripada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas selesai lawatan kerjanya, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pertanian dan Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.
Tze Tzin berkata, kekurangan sumber air akibat kemarau tidak akan menjadi isu sekiranya petani mampu mengurus sumber air sebaiknya sepertimana yang berlaku di Australia 10 tahun lalu ketika negara berkenaan berdepan dengan musim kemarau.
"Mereka mempunyai kesedaran menjimatkan penggunaan sumber air.
"Selain itu, mereka juga berjaya menguruskannya dengan baik sehinggahasil tanaman tidak terjejas," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tze Tzin berkata, pihaknya turut meninjau jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pengkalan Nelayan Bukit Pelanduk yang siap dibina pada 2013 dengan peruntukan sebanyak RM244,668.
"Jeti ini mampu menampung lebih 40 nelayan dan 32 vesel dan turut berfungsi sebagai Stor Simpanan Peralatan dan Balai Nelayan," katanya.
Di samping itu, beliau berkata, Projek Panggar Kupang di Kampung Telok milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang yang menelan belanja RM400,000 juga telah siap sepenuhnya pada awal Januari lalu.
"Projek ini dijangka akan memberikan tambahan peningkatan pendapatan kepada pengusaha dan nelayan setempat di mana Panggar Kupang ini boleh menampung sehingga 750 tali Kupang pada satu satu masa dengan anggaran hasil tuaian sebanyak 40kg," katanya.
Sementara itu, sesi dialog bersama peladang, penternak dan nelayan yang dihadiri oleh Ketua Ketua Jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut diadakan bagi mendengar sendiri permasalahan dihadapi golongan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!