Kempen Merdeka 'Demi Negara' kembalikan semangat, harapan rakyat

Asmadi Samad
Asmadi Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melancarkan kempen Kemerdekaan Negara 2021 bertemakan 'Demi Negara' bagi mengembalikan semangat dan harapan rakyat untuk melihat Malaysia menjadi negara unggul.

Pengarah Kempen Kemerdekaan Negara Isma 2021, Asmadi Samad berkata, kempen yang bermula dari 15 Ogos hingga 16 September itu menyasarkan beberapa objektif antaranya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyayangi negara dan mengangkat nilai-nilai unggul sedia ada dalam negara seperti kesopanan serta kesusilaan.

“Selain itu, objektif lain termasuk menerangkan ciri-ciri warganegara unggul seperti sifat mengutamakan kepentingan negara, meniupkan semangat dan harapan baharu kepada rakyat untuk keluar daripada kemelut semasa serta mengajak rakyat menjadikan Islam sebagai jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut memerintahkan kita supaya prihatin bukan sahaja dengan orang sekeliling bahkan tanah air kita,” katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, kemelut politik yang berlaku hari ini menjadikan rakyat muak, letih dan mula putus harapan terhadap kerajaan serta ahli politik.

“Ditambah dengan pandemik Covid-19 menjadikan rakyat semakin lesu dan hilang semangat untuk mengingati sambutan kemerdekaan,” ujarnya.

Beliau menambah, kempen tersebut bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia agar terus bersemangat membina negara yang unggul walaupun kemelut sedang melanda negara.

Katanya, antara program yang telah disusun termasuk ceramah, Malam Munajat Pemuda Isma, forum, pertandingan deklamasi puisi, sebaran risalah dan terbitan video pendek dalam talian di media sosial rasmi di Facebook serta YouTube.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!