Tiada rombongan ke Istana Negara, Jawatan PM kembali kepada UMNO?
KUALA LUMPUR – Tempoh kurang dari lapan jam artikel ini disiarkan menjadi waktu paling penting buat negara dalam menentukan Perdana Menteri baharu sebagai peneraju kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum 15 (PRU) dilaksanakan.
Sebagaimana dilaporkan pada Selasa, kesemua anggota Dewan Rakyat telah diarahkan supaya menghantar surat akuan secara bertulis kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 selewat-lewatnya jam 4 petang nanti.
Jika diimbas kembali, peristiwa menamakan calon Perdana Menteri melibatkan semua ahli parlimen ini sudah pernah berlaku 18 bulan lalu namun dalam suasana yang cukup berbeza.
Masih ingatkah 'kemeriahan' tanggal Februari tahun lalu apabila orang-orang politik ini membuat rombongan ke Istana Negara menaiki bas?
Bahkan ahli-ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih mencuri tumpuan dengan menaiki bas dua tingkat berbumbungkan langit Kuala Lumpur menuju Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Namun pada hari ini, dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan, tentunya 'pesta politik' sedemikian tidak akan terjadi.
Atau sebenarnya, adakah sekiranya hari ini Malaysia sudah sembuh daripada Covid-19, krisis politik yang sedang dihadapi negara ketika ini tidak berlaku?
Apa pun itu hanya kekal menjadi anggapan, kerana hakikatnya, Covid-19 bukan sahaja telah mengorbankan nyawa ramai rakyat, namun turut 'mengorbankan' survival Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.
Kini fokus kembali kepada calon Perdana Menteri ke-9, kerana kemungkinan persoalan tentang siapa yang akan diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara ini akan terjawab lebih awal tanpa menunggu sehingga 'deadline' jam 4 petang nanti.
Ia susulan pendedahan dan pengesahan yang dilaporkan semalam berhubung calon yang dinamakan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Selepas bermesyurat lewat malam semalam, UMNO mengesahkan 42 ahli parlimennya sebulat suara mengangkat Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Persetujuan itu dilaporkan dibuat secara konsensus yang mana dimaklumkan turut mendapat sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bagi mencapai majoriti lebih 111.
Manakala, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dilaporkan bahawa Pejuang turut terbuka mempertimbangkan Ismail sebagai calon Perdana Menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berdasarkan gambaran yang diberikan juga, Pejuang sedia bekerjasama dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) tanpa penglibatan kluster mahkamah kerana menyifatkan ia sesuatu yang sukar dielakkan bagi membentuk majoriti.
Perkembangan itu sedikit sebanyak memberi harapan kepada Ismail Sabri memperolehi majoriti sebagai Perdana Menteri sekaligus mengembalikan jawatan tersebut kepada UMNO.
Namun ketegasan Mukhriz bahawa Pejuang lebih memberi tumpuan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) Plus bagi membentuk kerajaan juga tidak boleh diabaikan.
Tidak mustahil sumpahan Anwar sebagai 'PM tepi' mampu berakhir jika PH mempunyai angka yang cukup namun perlu kekal memenuhi syarat 'tiada geng kleptokrat'.
Ini dikuatkan lagi dengan ikrar Warisan bahawa mereka sedia menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dengan syarat sama.
Sebaliknya, jika Anwar gagal mendapatkan majoriti diperlukan, Warisan berpendirian menyokong presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal untuk mendapatkan majoriti.
Bagaimanapun, kemungkinan terdapat kejutan lain susulan perkembangan sesi sembah menghadap melibatkan ketua-ketua parti dengan Al-Sultan Abdullah semalam juga perlu diambil kira.
Anwar mendedahkan dalam pertemuan tersebut, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar gagasan suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat perlu diwujudkan.
"Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baharu,"kata Anwar.
Jika benar ahli-ahli politik mampu merealisasikan titah tersebut, rakyat mungkin boleh menarik nafas lega.
Apa pun, tiada apa yang pasti selagi namanya politik kerana apa sahaja perubahan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Apatah lagi setiap nama yang diutuskan dalam surat setiap ahli parlimen untuk dipersembahkan kepada Istana Negara adalah rahsia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!