Marquez hampiri prestasi terbaik
PENGURUS pasukan Repsol Honda, Alberto Puig percaya Marc Marquez menghampiri prestasi terbaiknya walaupun mengakhiri saingan MotoGP Austria di kedudukan ke-15 pada Ahad.
Menurutnya, Marquez hanya tidak bernasib baik di litar Red Bull Ring itu, namun persembahan pelumba kelahiran Sepanyol itu lebih baik berbanding sebelum ini.
"Memang jelas keputusan di Austria itu tidak bagus. Namun, jika kita melihat cara Marc, dia sebenarnya tidak bernasib baik apatah lagi dia memimpin perlumbaan sebelum hujan turun.
"Itu penting untuk Marc dan juga sangat penting untuk Repsol Honda kerana kami percaya dia sedang kembali ke prestasi terbaiknya.
"Kami meninggalkan Austria dengan potensi di jentera RC213V, tapi kami secara konsisten berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Kami belum mencapainya tetapi kami sedang menuju ke arah itu," katanya.
Pada perlumbaan di Red Bull Ring, Marquez bermula di petak kelima dan sempat berada di hadapan pada lima pusingan terakhir sebelum masuk ke pit untuk menukar motor.
Namun, malang buat Marquez apabila dia terjatuh pada tiga pusingan terakhir sekali gus menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 15 di depan Pol Espargaro dan Cal Crutchlow.
Keputusan di Austria itu menyaksikan Marquez berada di kedudukan ke-11 daripada keseluruhan pelumba dengan 59 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!