HLA sedia rawatan Covid-19 di hospital swasta
KUALA LUMPUR - Hong Leong Assurance (HLA) menawarkan manfaat pembayaran balik penghospitalan kepada semua pemegang polisinya yang mempunyai pelan perubatan individu apabila mereka dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan Covid-19 bagi kategori tiga, empat dan lima.
HLA dalam kenyataan berkata, ia adalah antara usahanya untuk membantu pelanggan menguruskan kos perubatan serta membolehkan mereka menerima rawatan terbaik yang berhak diterima, terutamanya dalam tempoh yang sukar ini.
“Perlindungan ini diberikan tanpa kos tambahan sebagai sebahagian daripada program manfaat khas percuma HLA untuk Covid-19.
"Pemegang polisi berhak menuntut pembayaran balik penghospitalan sehingga had tahunan dan had sepanjang hayat mereka, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada pelan perubatan mereka,” katanya.
Program itu juga menawarkan perlindungan kepada pemegang polisi untuk komplikasi pasca vaksinasi dengan manfaat penghospitalan harian sebanyak RM200 sehari selama tujuh hari bagi sebarang komplikasi yang mungkin berlaku selepas divaksinasi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!