Buka semula pusat kecergasan, sukan untuk individu lengkap vaksin
AHLI Jawatankuasa Panel Pakar Kementerian Belia dan Sukan, Datuk V Radhakrishnan menggesa kerajaan membuka semula pusat kecergasan dan kemudahan sukan untuk individu yang lengkap divaksin.
Radhakrishnan berkata, langkah tersebut perlu demi kesihatan fizikal dan mental masyarakat di samping membantu menangani isu pengangguran.
Beliau mengulas mengenai pengumuman kerajaan bahawa 11 sektor termasuk perniagaan dan kedai di pusat beli-belah dibenarkan dibuka semula, termasuk kedai peralatan sukan.
Radhakrishnan yang juga Presiden Persatuan Pengusaha dan Pengendali Kompleks Sukan & Kecergasan Kebangsaan (NSFVOOA) berkata, pengumuman itu amat melegakan bagi mereka yang terbabit dalam industri perniagaan sukan.
"Ia amat melegakan kami selepas terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan melihat kepada kemungkinan membuka sektor tersebut untuk individu telah lengkap divaksin, yang ingin menggunakan kemudahan untuk tujuan kecergasan, di samping memastikan pekerja juga diberi vaksin sepenuhnya,” katanya melalui petikan video yang dikongsi bersama media.
Radhakrishnan juga memberitahu bahawa pusat sukan dan kecergasan seperti gimnasium tempatan, gelanggang badminton dan futsal serta kemudahan kecergasan lain, juga perlu dibuka memandangkan ia penting dalam membantu orang ramai mengekalkan kesihatan dan kecergasan.
"Tanpa kemudahan seperti ini dibuka, perniagaan pusat kecergasan dan kemudahan sukan akan terus terjejas berikutan penutupan berpanjangan dan ketiadaan pelanggan menggunakan kemudahan, yang meliputi 80 peratus daripada perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan telah bersetuju membenarkan rakyat melakukan aktiviti kecergasan dengan berjoging dan berbasikal, keputusan itu masih tidak memadai untuk membantu majoriti industri sukan yang bergantung kepada orang ramai menggunakan gimnasium dan kemudahan sukan mereka.
Radhakrishnan berkata, NSFVOOA mendapati kira-kira 100 gimnasium dan kemungkinan banyak lagi, mungkin ditutup sekali gus menyebabkan peningkatan dalam pengangguran.
"Kita telah menyaksikan liga bola sepak berlangsung dengan 22 pemain di padang dan tidak ada masalah mengenainya.
"Setakat yang saya tahu, setakat ini, belum ada kluster yang muncul dari venue sukan, di semua pusat kecergasan... kami tidak ada rekod mengenainya, jadi ia adalah industri yang sangat selamat dan sihat," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!