Kutipan duti eksport MSM melebihi RM564 juta
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kutipan duti eksport minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini dianggarkan berjumlah RM564.82 juta.
Jumlah itu melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM111 juta.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan memaklumkan, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi tahun 2020.
Menurut kenyataan itu, ia berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021.
"Harga MSM dianggarkan melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember depan.
"Peningkatan harga MSM ini memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit," kata kenyataan itu pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun lalu di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar, manakala di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650.
"Negara kekal sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia.
"Pada tahun 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan MSM atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia," kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.
"Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 bernilai RM48.31 bilion daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.
"Kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu," katanya.
Jelas kenyataan itu, secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak.
"KPPK percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!