Bantu turunkan kos logistik yang meningkat
INDUSTRI penghantaran barangan mahu kerajaan campur tangan dan membantu menurunkan kadar logistik luar negara yang meningkat hampir 10 kali ganda berbanding tempoh sebelum Covid-19, kata seorang ahli industri.
Ketua Pegawai Operasi Mory-Tnte Mondial Express Sdn Bhd, N. Thaswin berkata, sebuah kontena sepanjang 40 kaki (12.19 meter) yang akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) sebelum Covid-19 akan berada dalam julat AS$3,000 (US$1=RM4.23) hingga AS$4,000 satu kontena tetapi kontena yang sama kini berharga AS$22,000 hingga AS$23,000.
“Ini (kos pengangkutan) tidak masuk akal. Negara-negara lain yang terlibat mereka telah mengadakan dialog dengan syarikat penerbangan dan mereka diberi insentif untuk kemungkinan mengurangkan kos pengangkutan mereka.
“Syarikat pembuatan Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara dan terdapat banyak pelaburan langsung asing yang terlibat dan ini (kadar pengangkutan tinggi) memberi impak buruk kepada pengeluar berikutan walaupun mereka dapat mengeluarkan produk, mereka tidak dapat mengeksport disebabkan kenaikan kos pengangkutan.
“Kami berharap kerajaan dapat campur tangan dalam kenaikan kos logistik untuk melihat bagaimana mereka (kerajaan) dapat membantu syarikat-syarikat logistik,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan ketibaan MV Tonsberg, antara kapal 'Roll On Roll Off' (RORO) terbesar di Westports di sini pada Selasa.
Thaswin berkata, syarikat perkapalan terlibat dalam amalan monopoli disebabkan kerugian yang ditanggung semasa Covid-19, terutamanya dalam tempoh enam bulan pertama sekatan pergerakan global.
“Mereka tidak dapat beroperasi dan menghantar barangan, justeru, mereka kini cuba untuk pulih. Kebanyakan syarikat perkapalan berada dalam pakatan dan mereka mempunyai kadar am yang meningkat setiap bulan yang perlu dipatuhi oleh semua syarikat perkapalan yang berada dalam kumpulan pakatan,” katanya.
Thaswin berkata, kerajaan perlu campur tangan berikutan kerajaan negara lain campur tangan, sama ada melalui arahan atau insentif.
Merujuk Westports sebagai contoh, katanya kerajaan boleh bekerjasama dengan pengendali pelabuhan untuk memberikan insentif tertentu kepada syarikat perkapalan yang datang ke Pelabuhan Klang, dan mereka akan diberikan kadar yang kompetitif atau lebih murah berbanding syarikat perkapalan di negara lain.
Thaswin berkata, Malaysia turut mengalami isu sama berkaitan kos pengangkutan kargo udara apabila kebanyakan barangan dihantar ke Singapura berikutan perbezaan ketara kos membabitkan lapangan terbang di Malaysia dan republik itu.
“Kos itu jauh lebih rendah di Singapura dan ini merupakan aspek yang perlu diteliti. Banyak kargo kita yang diangkut melalui Singapura kerana kita tidak dapat penerbangan atau ruang manakala kadar pengangkutannya merupakan satu isu di Malaysia kerana sama sekali tidak kompetitif.
“Kadar di (lapangan terbang) Singapura adalah lebih rendah kerana bukan sahaja kerajaannya turut campur tangan, tetapi mereka juga mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan disebabkan lebih kompetitif dan harga (logistik) juga rendah,” katanya.
Mory-Tnte Mondial Express Sdn Bhd terlibat dalam usaha pengangkutan udara antarabangsa dan di Malaysia sejak 34 tahun lepas serta meliputi semua aspek logistik - udara, laut dan darat selain logistik berasaskan projek dengan teras perniagaannya dalam sektor minyak dan gas serta industri berat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!