Lima direman kes rasuah projek jalan, sekolah tahfiz
SHAH ALAM – Empat individu termasuk seorang jurutera direman selama lima hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah projek jalan dan sekolah tahfiz berjumlah RM130,000 pada 2019.
Mahkamah Majistret Shah Alam turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penolong jurutera selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM8,000 sebagai balasan memperakukan kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan yang sama.
Perintah reman dikeluarkan terhadap kesemua suspek berusia 37 hingga 45 tahun itu oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Faisal Azmi selepas membenarkan permohonan dikemukakan secara berasingan oleh SPRM.
Pada Selasa, media melaporkan suspek jurutera dan penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah itu pada 2019.
Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tetapi menggunakan nama syarikat lain, bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.
Seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada syarikat kontraktor, sebagai balasan memperakui kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan berkenaan.
Kesemua suspek terdahulu ditahan antara jam 1.30 hingga 5 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!