Perak agih RM1.8 juta kepada 9 sekolah persendirian Cina

Saarani (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek bantuan pendidikan kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) bernilai RM1.8 juta.
Saarani (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek bantuan pendidikan kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) bernilai RM1.8 juta.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengagihkan peruntukan RM1.8 juta kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) bagi membantu mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi pengurusan sekolah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, agihan di bawah bantuan pendidikan itu adalah sebahagian daripada RM8.1 juta yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi pembangunan sekolah kebangsaan, sekolah mubaligh, vernakular dan SUWA seperti diumumkan dalam bajet negeri 2021.

"Dengan bantuan ini, setiap SUWA menerima peruntukan sebanyak RM200,000 dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 guru dan pelajar SUWA seluruh negeri.

"Dalam suasana pandemik Covid-19 yang menjejaskan sistem persekolahan sejak hampir dua tahun, peruntukan ini sedikit sebanyak dapat membantu pengurusan sekolah membiayai program pendidikan demi kebaikan guru dan pelajar," katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom Meeting di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, sembilan sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah (SM) Shen Jai, SM Yuk Choy dan SM Poi Lam di Ipoh; SM Nan Hwa, Ayer Tawar; SM Yik Ching, Pantai Remis; SM Pei Yuan, Kampar; SM Tsung Wah, Kuala Kangsar; SM San Min, Teluk Intan dan Sekolah Tinggi Hua Lian, Taiping.

"Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri sejak bertahun-tahun untuk membantu sekolah persendirian selain meluluskan remitan cukai tanah dan tunggakan cukai tanah pada kadar norminal RM10 per lot setahun," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!