Selangor tubuh SUKA hadapi pandemik Covid-19
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sukarelawan terpilih itu akan dilatih dengan modul-modul bertemakan Covid-19 secara berkala.
Menurutnya, kemahiran seperti pengurusan pesakit, ujian Covid-19 di rumah, penggunaan kit penilaian rumah menerusi aplikasi SeLangkah serta pelbagai lagi akan diajar secara profesional.
"Menerusi SUKA, sifat kesukarelawanan dapat dibudayakan dalam masyarakat," katanya menerusi status di Facebook beliau pada Rabu.
Menerusi info grafik dikongsi Amirudin itu memaklumkan, terdapat beberapa manfaat bakal diperoleh sekiranya menyertai SUKA antaranya Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS), kit sukarelawan dan latihan berkala percuma.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh e-mel kepada sukakomuniti2021@gmail.com atau layari www.sukasociety.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!