Semenyih lubuk usahawan IKS, petani berjaya

Pandangan dari atas yang menunjukkan pembangunan dan kemudahan yang ada di sekitar Semenyih ketika tinjauan semalam. - Foto Bernama
Pandangan dari atas yang menunjukkan pembangunan dan kemudahan yang ada di sekitar Semenyih ketika tinjauan semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SEMENYIH - Kedudukan Semenyih sebagai kawasan pinggir bandar dan kedudukannya yang tidak jauh dari ibu kota, menjadi kelebihan menjadi lubuk, bagi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan berasaskan pertanian, khususnya golongan belia.

Baru-baru ini, Bernama berkesempatan bertemu beberapa usahawan bumiputera tempatan yang mengikuti program pertanian, yang diselia agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pemilik Cincau Kesuma Enterprise, Siti Surhatini Sabu, 35, yang dahulunya menjual cincau dan minuman cincau asli secara kecil-kecilan di rumahnya, kini menjadi antara pelopor perniagaan produk minuman itu di Semenyih.

“Sekitar tahun 2016, kami menjual secara kecil-kecilan, dan hanya menerima tempahan daripada kawan-kawan. Umum tahu, cincau kebiasaannya diusahakan oleh bukan bumiputera, jadi saya cuba masuk ke perniagaan ini, supaya pengguna mempunyai pelbagai pilihan khususnya bagi pengguna beragama Islam,” katanya kepada Bernama.

Siti Surhatini yang menyertai program Pemasaran Industri Asas Tani (IAT) di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Semenyih, berjaya membuka sebuah kilang kecil pemprosesan produk cincau, di Beranang di sini.

Katanya menerusi program itu, FAMA menyediakan kursus dan latihan menambah baik kualiti produk, serta membantu mereka memasarkan produk ke pasar raya tempatan seperti Sri Ternak.

Menerusi program itu, FAMA membantu memasarkan produk kami ke seluruh Negeri Selangor, dan akan menembusi pasaran di peringkat pasar raya besar (hypermarket). Kini, setiap bulan permintaan dari ejen dan peruncit mencecah lebih 7,000 botol minuman, berbanding 50 botol pada peringkat awal perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata inisiatif itu membuka peluang bagi anak muda tempatan sepertinya, untuk keluar daripada kelompok kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi penternak ikan air tawar dalam kolam Azhar Abdul Razak, 29, beliau mampu meraih pulangan yang agak lumayan, selepas mengikuti program Agropreneur Muda, sejak tahun lepas.

Anak sulung dari sembilan beradik itu berkata, menerusi geran itu beliau diberi insentif pertanian berimpak tinggi yang membolehkan beliau meningkatkan hasil ternakannya.

Menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan khususnya dalam bidang pertanian dan keusahawanan, golongan belia harus merebut peluang itu untuk menjana pendapatan, katanya.

"Mungkin ramai anak muda lebih-lebih lagi di kampung, fikir kerja dalam bidang profesional sahaja yang mampu meraih pendapatan yang tinggi, tanpa mereka sedar bidang pertanian juga menjanjikan pulangan yang lumayan," katanya.

Tambahnya, golongan petani muda tidak harus bimbang, kerana kerajaan menerusi agensi terlibat sentiasa menawarkan pelbagai program pembangunan pertanian seperti teknik pertanian dan panduan perniagaan.

Program Agropreneur Muda mula diperkenalkan pada 2013, dengan tujuan menggalakkan penglibatan belia dalam bidang keusahawanan berasaskan industri pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan serta agro-pelancongan.

Di Rinching Tengah, Razak Nasir, 52, yang mengusahakan 14 hektar tanaman pisang berangan dan nanas adalah antara pengusaha yang dibantu FAMA menerusi program Ladang Kontrak.

Menerusi program itu, FAMA menjadi orang tengah dalam memasarkan hasil tanaman ke pasaran tempatan dan nasional, katanya.

"Dari sudut pengedaran hasil, FAMA banyak membantu mencari pasaran untuk hasil tanaman saya. Kesemua pisang dan nanas dipasarkan mengikut bekalan yang saya sediakan dalam tempoh tertentu, FAMA tidak henti-henti memasarkan hasil tanaman, malah agensi itu turut memantau kualiti hasil supaya semua produk yang dihasilkan menerusi program ini bermutu tinggi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!