GO + Touch‘ n Go eWallet kini patuh syariah
TOUCH ‘n Go Group dan Principal Asset Management (Principal) secara bersama mengumumkan bahawa Principal e-Cash Fund, dana asas bagi GO + Touch‘ n Go, kini patuh Syariah.
Touch ‘n Go dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ini menjadikan dana GO + sebagai produk eWallet patuh Syariah pertama di Malaysia.
Melalui dana patuh Syariah ini, para pelanggan Touch ‘N Go eWallet boleh mengakses pelaburan pasaran wang yang berisiko rendah dengan hanya serendah RM10 dan menerima potensi pulangan yang sama setiap hari selain dapat menggunakan dana itu bagi semua transaksi dalam eWalletnya.
GO + dilancarkan pertama kali pada Mac 2021 sebagai langkah pertama Touch ‘n Go meneroka bidang perkhidmatan kewangan digital.
Produk GO + digabungkan dengan Principal e-Cash Fund, dana pasaran wang yang diuruskan oleh Principal.
Kerjasama penciptaan bersama produk itu pada dasarnya menggabungkan kepakaran Touch ‘n Go eWallet dalam teknologi dan ekosistem dan kepakaran teras Principal dalam strategi pelaburan dan pengurusan dana.
Setakat ini, platform Touch ‘n Go eWallet GO + telah melebihi 1.2 juta pengguna.
GO + tersedia kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Bagi maklumat lanjut dan terkini mengenai GO +, boleh layari www.tngdigital.com.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!