Bonnie, Siti Nooriasah pembawa Jalur Gemilang di Paralimpik Tokyo
JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet para olahraga, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo, 24 Ogos ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kedua-dua atlet yang dipilih itu melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia selain pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini.
“Bonnie merupakan seorang atlet Bidayuh dari Sarawak manakala Siti Nooriasah pula atlet wanita Melayu.
“Jadi, dapat dilihat bahawa walaupun Malaysia mempunyai penduduk daripada pelbagai kaum dan agama, namun kita mahu tunjuk kepada dunia yang kita semua bersatu,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Megat D Shahriman, yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo berkata, Bonnie dipilih berdasarkan reputasinya selaku juara dunia dan pemegang rekod dunia kategori 72 kilogram (kg) ke atas manakala Siti Nooriasah meraih pencapaiannya di tempat keempat acara 400 meter wanita T20 (masalah pembelajaran) di edisi Rio 2016.
Selain muncul juara, Bonnie berjaya memecahkan rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila berjaya mengangkat bebanan seberat 230 kg, sekali gus memadam rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Sementara itu, Megat D Shahriman memaklumkan persiapan kontinjen Malaysia berjalan lancar dan mengingatkan anak buahnya agar sentiasa menjaga kesihatan dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan penganjur.
Beliau pada masa sama mengharapkan setiap atlet para agar bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk bertanding dalam acara masing-masing serta segera menyesuaikan diri dengan suasana temasya di Jepun nanti.
Selain Bonnie dan Siti Nooriasah, tiga lagi atlet iaitu pemenang emas Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga); juara dunia 2019 S. Suresh (memanah) dan pemenang emas Sukan Para ASEAN 2017 Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda) akan turut serta dalam perarakan atlet di upacara pembukaan itu.
Megat D Shahriman, dua pegawai perubatan dan dua petugas sekretariat juga dijangka menyertai perarakan pada majlis yang bakal berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.
Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadual berakhir pada 5 September ini menyaksikan kontinjen negara dibarisi 22 atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!