MBI lulus RM10 juta biayai projek infrastruktur

Rumaizi (kiri) meninjau pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di sekitar Ipoh pada Rabu. - Foto MBI
Rumaizi (kiri) meninjau pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di sekitar Ipoh pada Rabu. - Foto MBI
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meluluskan peruntukan lebih RM10 juta bagi membiayai kerja-kerja pembinaan, naik taraf dan baik pulih infrastruktur pada tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peruntukan itu merangkumi kerja-kerja penurapan jalan, pembinaan longkang untuk mengatasi masalah banjir kilat, pelebaran jalan dan naik taraf sistem paip dan jubin lantai di kawasan kediaman.

Menurutnya, peruntukan besar yang diluluskan itu bagi menjamin pelaksanaan projek berkualiti bagi jangka masa panjang untuk keselesaan warga bandar raya.

"Setakat ini kita telah peruntukkan lebih RM10 juta bagi tujuan infrastruktur. Ini tidak termasuk peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Melalui peruntukan ini, paling penting pelaksanaan setiap projek itu perlulah betul-betul berkualiti.

"Setiap sen yang dibelanjakan itu kita nak pastikan ia dilaksanakan dengan baik. Kita tak mahu nanti kalau jalan sudah siap, tiba-tiba tiga bulan selepas itu rosak balik. Itu akan merugikan duit rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan tujuh projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di sekitar Ipoh di sini pada Rabu.

Antara projek berkenaan ialah penurapan jalan di Jalan Nasarudin Rais, Taman Happy; pembinaan longkang monson di Taman Lapangan SSI; turap semula jalan di Lebuh Sungai Pari, Buntong dan kerja-kerja naik taraf sistem paip dan jubin lantai di Flat Buntong Harmoni.

Artikel Berkaitan:

Rumaizi (tengah) ketika melihat pelan projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di sekitar Ipoh pada Rabu. - Foto MBI
Rumaizi (tengah) ketika melihat pelan projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan di sekitar Ipoh pada Rabu. - Foto MBI

Hadir sama ialah Pengarah Kejuruteraan MBI, Azman Mohd Harun dan Pengarah Perancang Bandaraya MBI, Mohd Zainal Abdul Hamid.

Rumaizi berkata, semua pelaksanaan projek membabitkan longkang dan jalan akan disegerakan, sekurang-kurangnya siap sebelum akhir tahun ini bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh.

"Sekarang ini kita dalam proses nak mempercepatkan pelaksanaannya. Kita memang memberi tumpuan yang lebih supaya masalah banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan-kawasan berisiko dapat diatasi," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MBI sedang melaksanakan kerja naik taraf kemudahan prasarana di Flat Buntong Harmoni membabitkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta.

Menurutnya, peruntukan disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu antaranya melibatkan baik pulih bilik air di semua 336 unit rumah, bumbung dan sistem perparitan.

"Projek ini dilakukan secara berperingkat dan kita sasarkan ia siap menjelang hujung tahun ini bagi menjamin keselesaan penghuni," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!