Terengganu menuju Fasa 3 PPN awal September
KUALA TERENGGANU - Perkembangan positif proses vaksinasi Covid-19 memberikan khabar gembira buat seluruh warga Terengganu apabila negeri itu dijangka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal September.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dilihat selaras dengan kadar pemberian dua dos vaksin yang kini hampir mencecah 40 peratus serta bakal dicapai dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, baki lima peratus dijangka dapat dicapai dalam tempoh terdekat sekiranya bekalan vaksin tiba mengikut jadual.
"Berdasarkan statistik diperoleh dua hari lalu, kadar pemberian dua dos vaksin di seluruh Terengganu adalah 35 peratus, bermakna kita masih kurang lima peratus untuk mencapai angka 40 peratus di mana menjadi sebahagian syarat untuk negeri mencapai fasa PPN seterusnya.
"Kita jangka mampu capai lagi lima peratus dalam jangka masa seminggu dua lagi jika bekalan dos vaksin sampai seperti dirancang, Insya-ALLAH kita mampu bergerak ke fasa tiga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Melihat kepada perubahan positif itu, Ahmad Samsuri menyeru seluruh masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.
Katanya, pematuhan di tahap tinggi penting memandangkan berlaku peningkatan terutama melibatkan varian Delta yang kini merekodkan sebanyak tujuh kes di Terengganu.
"Saya menyeru seluruh rakyat Terengganu supaya terus mengamalkan SOP bagi memastikan kita semua dapat sama-sama bergerak secara konsisten ke fasa pemulihan seterusnya.
"Kerajaan negeri juga akan berunding dengan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) supaya jumlah bekalan vaksin sentiasa ditambah dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!