Kakitangan KKM maut nahas, tiga lagi cedera
JOHOR BAHRU - Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maut manakala tiga lagi cedera selepas van dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini pada Rabu.
Mangsa dikenali Shamsul, 49, yang memandu van berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 pagi.
Menurutnya, seramai 14 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua motosikal serta sebuah utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.
"Semasa tiba di tempat kejadian didapati mangsa bersama tiga lagi kakitangan KKM iaitu Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26, terperangkap dalam van berkenaan.
"Pihak bomba menggunakan alatan 'rescue cutter' untuk mengeluarkan semua mangsa yang mengambil masa kira-kira 11 minit," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital, manakala pemandu lori berkenaan terselamat.
Katanya, difahamkan van KKM tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!