Produktiviti buruh Malaysia meningkat 13.6 peratus
SHAH ALAM - Produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai tambah per pekerja bagi suku tahun kedua meningkat 13.6 peratus berbanding tahun lalu, selepas mengalami penurunan bagi tempoh lima suku tahun berturut-turut.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ketara dengan nilai RM22,117 per pekerja tersebut berikutan asas nilai yang lebih rendah dicatatkan pada tahun lalu iaitu negatif 16.1 peratus (RM19,467 per pekerja).
Namun menurutnya, berbanding suku tahun pertama tahun ini, produktiviti buruh bagi suku tahun kedua jatuh dengan rekod negatif yang lebih kecil iaitu 1.8 peratus.
“Pada suku kedua, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak 16.1 peratus tahun ke tahun daripada negatif 0.5 peratus pada suku tahun pertama manakala pekerja dengan sejumlah 15.2 juta orang, meningkat 2.2 peratus berbanding negatif 0.04 peratus pada suku sebelumnya.
“Jumlah jam bekerja meningkat 33.2 peratus merekodkan 8.3 bilion jam bekerja telah mendorong produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja jatuh 12.8 peratus dengan nilai RM40.5 per jam.
“Penurunan produktiviti buruh ini berikutan peningkatan jumlah jam bekerja lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan nilai ditambah dan jumlah tersebut merupakan kedua terendah direkodkan selepas suku tahun kedua 2020 (6.2 bilion jam bekerja) berikutan waktu operasi perniagaan yang terhad lanjutan dari pelaksanaan langkah kawalan ketat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja bagi semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan dua digit kecuali sektor pertanian.
Menurutnya, sektor pembinaan meningkat kepada 37.6 peratus dan pembuatan terus kukuh pada 23.2 peratus manakala produk kayu perabot keluaran kertas dan percetakan (41.8 peratus), peralatan pengangkutan, pembuatan lain serta pembaikan (39.3 peratus).
“Pada masa sama sektor perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan masing-masing meningkat 14.1 peratus dan 11.0 peratus,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, tiga subsektor perkhidmatan yang mencatatkan pertumbuhan ketara adalah pengangkutan dan penyimpanan (37.3 peratus), kewangan dan insurans (24.6 peratus), perdagangan borong dan runcit (19.4 peratus) manakala pertanian menurun 3.3 peratus.
“Mengikut nilai ditambah per jam bekerja, semua sektor ekonomi mencatatkan kejatuhan iaitu sektor pembuatan turun 4.2 peratus, perlombongan dan pengkuarian 7.1 peratus serta pembinaan 7.8 peratus manakala pertanian 15.6 peratus dan perkhidmatan 15.9 peratus,” tambahnya.
Jelas beliau, keupayaan perniagaan mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan seterusnya memacu perniagaan dalam jangka masa panjang.
“Penggunaan automasi disokong dengan latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada akan mengoptimumkan produktiviti serta menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!