Palestin bantu Israel kawal kebakaran hutan di Baitulmaqdis
BAITULMAQDIS - Kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan seluas 2,500 hektar di barat Baitulmaqdis sejak Ahad lalu akhirnya berjaya dikawal, menurut perkhidmatan bomba Israel pada Selasa.
“Keadaan terkawal selepas usaha selama 52 jam yang disertai kira-kira 1,500 anggota bomba bersama pesawat pengebom air,” ujarnya dalam satu kenyataan sehari selepas rejim Tel Aviv terpaksa meminta bantuan antarabangsa bagi memadamkan kebakaran itu yang turut menyaksikan ratusan keluarga dari 10 perkampungan terpaksa berpindah.
Difahamkan, pasukan bomba Palestin turut membantu rakan mereka di Israel dan tindakan itu dipuji Menteri Pertahanan, Benny Gantz menerusi Twitter.
“Saya berterima kasih kepada Presiden, Mahmoud Abbas atas inisiatif beliau mengerahkan pasukan bomba Palestin untuk membantu Israel bagi menyelamatkan nyawa dan kepentingan bersama,” katanya.
Pada Isnin, Pesuruhjaya Penyelamat dan Bomba, Dedi Simchi berkata, kebakaran itu bukan berlaku secara spontan.
"Ia berpunca daripada aktiviti tidak terkawal manusia. Kita masih tidak tahu sama ia disebabkan perbuatan khianat, cuai atau disengajakan," katanya lagi.
Kebakaran hutan pada musim panas adalah perkara biasa di Israel berikutan ia bersempadan dengan Mediterranean.
Sebelum ini, kebakaran hutan turut melanda Cyprus, Greece, Turki dan Algeria yang paling teruk terjejas dengan sekurang-kurangnya 90 terkorban dalam kejadian itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!