Labur dahulu baru belanja

Susun kewangan diri dan keluarga dengan membuat bajet. Peruntukkan sedikit daripada gaji untuk pelaburan terlebih dahulu sebelum mula berbelanja.
Susun kewangan diri dan keluarga dengan membuat bajet. Peruntukkan sedikit daripada gaji untuk pelaburan terlebih dahulu sebelum mula berbelanja.
A
A
A

Antara punca utama menyebabkan ramai tidak mempunyai tabungan kecemasan ialah keutamaan yang diberikan lebih kepada berbelanja berbanding mengenepikan sedikit wang sebagai persediaan untuk sebarang perkara luar dugaan.

Kita tidak bimbang untuk menambah hutang dan berbelanja tetapi amat berat untuk melabur kerana berasakan pelaburan hanyalah satu perkara yang membebankan dan mengurangkan wang untuk menikmati kehidupan.

Ramai yang hanya tersedar bahawa mereka tidak mempunyai tabungan sebagai sumber kewangan apabila berlaku perkara luar dugaan seperti kehilangan pekerjaan, sakit, ditimpa kemalangan dan sebagainya.

Kehidupan yang sangat selesa, tiba-tiba menjadi sangat sukar dan lebih malang lagi, ada hutang membukit yang perlu dilangsaikan sedangkan hidup perlu diteruskan.

Justeru, berdasarkan andaian bahawa kita mungkin kehilangan pekerjaan pada bila-bila masa, pakar kewangan menyarankan supaya setiap daripada kita mempunyai tabung kecemasan menyamai 6 bulan gaji semasa.

Dengan adanya tabungan kecemasan, keadaan kewangan kita tidak akan merosot dengan mendadak dan memberi peluang kepada kita untuk mengatur langkah seterusnya selain tidak perlu menambah hutang semata-mata untuk kelangsungan hidup.

Untuk melabur sebenarnya tidaklah sukar, malahan jika yang dilakukan dengan betul, ia langsung tidak akan menjejaskan kualiti hidup semasa, malah memastikan kualitinya kekal utuh walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Salah satu kaedah paling mudah ialah dengan menerapkan sikap ‘labur dahulu baru belanja’ dalam pengurusan kewangan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Jangan tunggu hingga ada lebihan baru hendak melabur, sebaliknya ketepikan 5 hingga 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan untuk pelaburan, dan selepas itu, barulah bayar hutang dan berbelanja.

Tidak mengapa jika jumlah yang dilaburkan itu serendah RM10 sahaja sebulan, yang penting wang yang dilaburkan tidak dikeluarkan kecuali jika kita benar-benar memerlukan.

Antara instrumen pelaburan yang sesuai untuk membina tabung kecemasan ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mana kita boleh melabur pada bila-bila masa mengikut kemampuan.

Kemudahan Auto Labur yang ditawarkan menerusi portal myASNB membenarkan pelabur menetapkan pelaburan automatik serendah RM30 automatik setiap bulan ke dalam ASB secara percuma.

Sebenarnya memang tidak sukar untuk melabur, yang penting ialah komitmen dan disiplin dalam diri untuk melakukannya. Jika setiap hari kita boleh memperuntukkan RM10 untuk kopi kegemaran, mengapa tidak kita melabur RM30 setiap bulan untuk membina tabungan yang boleh menyelamatkan kita pada waktu memerlukan.