Cake cadang perluas vaksinasi di penempatan penduduk

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Yusrizal)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Yusrizal)
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) mencadangkan agar Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menjalankan vaksinasi secara lebih meluas dengan turun ke lokasi penempatan penduduk.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini berikutan pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk termasuk pekerja perkhidmatan perlu (essential services) yang belum mendapat tarikh janji temu vaksin.

Menurutnya, ada yang sudah mendaftar menerusi MySejahtera sejak Februari lalu tetapi belum mendapat tarikh janji temu sehingga kini.

"Tetapi ada pula yang lewat mendaftar, namun sudah dapat tarikh janji temu dan sudah lengkap dua dos vaksin," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mohamad Yusrizal berkata, satu proses yang lebih efisien perlu ditekankan agar lebih ramai dapat divaksinasi mengikut tarikh pendaftaran atau umur penerima.

"Ada juga golongan yang tidak mahir mendaftar menerusi MySejahtera terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

"Mereka ini memerlukan proses pemberian vaksin secara 'walk-in' di kawasan berhampiran rumah mereka untuk memudahkan pergerakan.

"Sama ada di bandar atau kawasan luar bandar, petugas kesihatan ini perlu ke penempatan mereka contohnya menggunakan dewan orang ramai atau masjid yang berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Yusrizal, ketua penduduk di situ boleh menyediakan senarai nama setiap isi rumah supaya ia khas untuk kawasan itu sahaja.

"Saya yakin tidak semua penduduk mampu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mungkin kerana masalah kewangan atau keuzuran," katanya.

Beliau berkata, bagi pekerja perkhidmatan perlu, JKN boleh melaksanakan vaksinasi di premis mereka bekerja.

"Kalau katakan sebuah kilang itu ada kes yang tinggi, mereka boleh turun ke kilang dan laksanakan vaksinasi di situ," katanya.

Katanya, beliau difahamkan sehingga Isnin lalu, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri ini berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin baru mencecah 31.8 peratus.

"Individu yang memperoleh satu dos vaksin pula adalah sebanyak 55 peratus dan ia menunjukkan sekiranya suatu langkah yang tidak serius diambil Kedah mungkin lewat mencapai imuniti kelompok," katanya.

Pada Selasa, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang kekal empat angka setiap hari sejak sebulan lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din, baginda bertegas agar kerajaan memberi pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!